Pelantikan Ketua Hakim Negara bukti semak imbang masih ada

SHAH ALAM – Pelantikan terkini Ketua Hakim Negara menunjukkan bahawa institusi di negara ini masih berfungsi dan memainkan peranan penting selain menjadi lambang kepada pelaksanaan prinsip semak dan imbang.
Bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Liyana Marzuki berkata, ia turut membuktikan bahawa suara rakyat melalui saluran seperti Majlis Peguam dan badan sivil memberi kesan yang signifikan.
Menurutnya, perkara paling penting yang dapat diperhatikan ialah kerajaan tetap dapat dibentuk dan berfungsi walaupun berdepan kritikan serta teguran rakyat.
“Buat pertama kali dalam sejarah pelantikan Ketua Hakim Negara, seluruh prosesnya dilihat dan disemak secara terbuka.
“Daripada saringan di bawah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), pengesyoran Perdana Menteri, perbincangan dalam Majlis Raja-Raja, sehinggalah perkenan Yang di-Pertuan Agong, semuanya berlangsung dalam radar rakyat.
“Lebih penting, pengumuman dibuat secara rasmi oleh Istana dan Majlis Raja-Raja. Bukan bocor, bukan bisik-bisik, tetapi diumumkan dengan penuh tertib,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Jumaat.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan yang baharu, menggantikan penyandang terdahulu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang telah bersara wajib.
Pelantikan beliau diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selepas menerima nasihat Perdana Menteri dan hasil rundingan bersama Majlis Raja-Raja, menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Khamis.
Dalam kenyataan yang sama, turut diumumkan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Datuk Azizah Nawawi dilantik sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang jawatan itu yang bakal bersara.
Majlis angkat sumpah dan penyerahan watikah pelantikan akan diadakan pada 28 Julai di Istana Negara, di hadapan Sultan Ibrahim.
Tambah Liyana, keadaan ini jauh berbeza berbanding sebelum ini.
“Dulu, kita pernah dengar bagaimana pelantikan kehakiman dilakukan secara senyap. Tiba-tiba sahaja keluar nama, sedangkan sebelum itu rakyat tidak mengetahui mengenainya.
“Buktinya, kita boleh rujuk kepada dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam kes VK Lingam, yang merumuskan bahawa Majlis Raja-Raja ketika itu hanya berperanan mengesahkan pelantikan, bukan sebagai semak dan imbang sebenar,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

