Kes Shila Amzah-Amy Search: Polis tunggu arahan Peguam Negara

Amy Search dan Shila Amzah. (Gambar kecil: Mohamed Usuf)
Amy Search dan Shila Amzah. (Gambar kecil: Mohamed Usuf)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara berhubung kes penyanyi Shila Amzah yang mendakwa diserang secara terbuka oleh seorang artis legenda semasa sesi latihan konsert.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, setakat ini empat individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kuala Lumpur sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Jumaat.

Menurut beliau, siasatan kes berkenaan dijalankan secara teliti memandangkan ia melibatkan seorang figura terkenal.

“Laporan polis oleh Datuk Amy Search yang dibuat tiga hari lalu juga sedang disiasat secara selari dengan kes ini,” katanya.

Terdahulu, Shila Amzah dilaporkan membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya diserang oleh seorang artis legenda ketika sesi latihan konsert di Stadium Merdeka di sini.

Perkara itu turut dikongsikan Shila menerusi satu hantaran di Instagram Story, yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan warga industri hiburan.

Siasatan awal polis mendapati insiden berkenaan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap campur tangan Shila dalam isu kekeluargaan artis berkenaan.

Pada Rabu, Amy, atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 66, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk membuat laporan polis berhubung kes yang turut mengaitkan nama Shila.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!