Polis siasat dakwaan Shila Amzah diserang artis legenda

KUALA LUMPUR – Polis menerima laporan daripada penyanyi terkenal, Shila Amzah yang mendakwa dirinya diserang secara terbuka oleh seorang artis legenda semasa sesi latihan konsert baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, laporan dibuat oleh Shila atau nama penuhnya, Nurshahila Amir Amzah, pada 10 Julai lalu kira-kira jam 5.31 petang di Balai Polis Dang Wangi.
“Berdasarkan laporan yang diterima, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, setakat ini polis telah mengambil dua rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang sentuhan fizikal berlaku dalam kejadian tersebut dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Siasatan masih berjalan dan pihak polis sedang berusaha mendapatkan keterangan daripada individu yang didakwa terlibat dalam insiden berkenaan.
“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan individu yang dikatakan menyerang mangsa masih belum dipanggil. Namun, tindakan sedang diambil untuk mendapatkan keterangan daripadanya,” ujarnya.
Tambah beliau, kes sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Terdahulu, Shila Amzah dilaporkan memuat naik kenyataan di media sosial mengenai dirinya diserang secara terbuka oleh seorang artis lelaki semasa sesi latihan konsert.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

