Tiada jangkitan Covid-19 di Manjung

Dr Lay Ming
Dr Lay Ming
A
A
A

IPOH - Jabatan Kesihatan Perak menafikan terdapat kes positif jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) di daerah Manjung sepertimana mesej tular di aplikasi WhatsApp.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kenyataan dalam WhatsApp itu hanya menyatakan kes disyaki dan tindakan-tindakan pencegahan yang perlu diambil.

Menurutnya, pencegahan awal dilakukan disebabkan terdapat dua kes yang disyaki terlibat dalam program tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling pada 28 Februari lalu menjadi ahli jawatankuasa surau dan masjid di kawasan itu.

"WhatsApp itu dihantar kepada Pegawai Tadbir Agama Manjung dengan tujuan dapat mengambil langkah pencegahan awal.

"Pegawai tadbir berkenaan telah mengeluarkan arahan WhatsApp kepada semua surau dan masjid supaya menjalankan aktiviti pembersihan di sekitar premis," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, setakat ini, penerimaan daripada kariah surau dan masjid amat positif dan memberikan kerjasama sepertimana diarahkan.

"Langkah pencegahan telah diambil serta-merta," katanya.

Mesej tular berkenaan menyarankan agar aktiviti di beberapa surau dan masjid dihentikan sementara bermula 11 Mac hingga 25 Mac bagi membendung kemungkinan jangkitan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Antara yang terlibat ialah Surau Kampung Tebuk Yan, Pantai Remis, Masjid Sungai Batu, Pantai Remis dan Masjid Batu 10, Lekir.