Anak ibu tunggal OKU impi jadi doktor pakar jantung

Naufal bersalaman bersama ibu dan neneknya ketika dijemput kenderaan khas UniSZA di rumah neneknya di Temerloh untuk membawanya mendaftar masuk universiti itu.
Naufal bersalaman bersama ibu dan neneknya ketika dijemput kenderaan khas UniSZA di rumah neneknya di Temerloh untuk membawanya mendaftar masuk universiti itu.
A
A
A

KUALA NERUS – "Impian saya nak jadi doktor pakar jantung, saya mahu ubah nasib keluarga."

Demikian tekad seorang pelajar cemerlang dari Temerloh, Pahang, Naufal Zulkarnain Muhammad Anuar, 18, yang menyimpan cita-cita besar meskipun dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan.

Anak ketiga daripada enam beradik itu membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk meraih kejayaan dalam hidup.

"Saya tahu kami hidup susah tapi saya percaya pendidikan mampu ubah semuanya. Cita-cita saya besar kerana saya tak mahu keluarga terus berada dalam kesempitan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Lebih menyentuh hati, ibunya, Manisah Hassan, 45, merupakan seorang ibu tunggal berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal yang menyara keluarga dengan menjual kuih dan roti secara kecil-kecilan.

"Ibu saya banyak berkorban, walaupun dia sendiri kurang upaya. Sebab itu saya perlu berusaha keras. Saya mahu jadi anak yang membanggakan dia suatu hari nanti," ujarnya.

Menurutnya, penyakit jantung yang menjadi antara punca utama kematian di negara ini menjadi dorongan untuk beliau meneruskan cita-cita dalam bidang perubatan.

"Saya pilih bidang ini sebab ramai rakyat Malaysia menderita sakit jantung. Kalau berjaya jadi pakar nanti, saya nak bantu lebih ramai orang," katanya.

Kongsi Naufal, ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia hanya bergantung kepada telefon murah dan komputer riba yang dipinjam daripada kakaknya.

Artikel Berkaitan:

"Saya beli telefon guna duit simpanan sendiri. Komputer riba pula pinjam daripada kakak, sebab kami tak mampu beli sendiri.

"Saya faham kesempitan hidup yang keluarga saya alami dan saya tak pernah berhenti berusaha serta berdoa," katanya yang memperoleh keputusan 9A dalam SPM dan kini mengikuti Program Asasi Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Kisah Naufal menjadi perhatian apabila UniSZA menghantar kenderaan khas ke rumah neneknya di Temerloh untuk membawanya mendaftar ke kampus, baru-baru ini.

Bercerita mengenai kehidupan baharu di kampus, katanya kehidupan di universiti agak mencabar, namun dia bersyukur kerana pensyarah dan rakan-rakan banyak membantu.

"Awal-awal memang susah nak sesuaikan diri. Tapi saya bersyukur sebab dapat sokongan ramai pihak.

"Saya sentiasa berhubung dengan keluarga dan akan menelefon emak saya sekurang-kurangnya sekali sehari. Saya tanya khabar dia dan cerita tentang belajar. Saya rasa tenang bila tahu keadaan keluarga di rumah dalam keadaan baik," ujarnya.

Naufal berkata, dia juga telah memohon bantuan komputer riba wakaf daripada pihak universiti dan menerima sumbangan daripada orang ramai bagi menyokong pengajiannya.

"Saya mohon laptop wakaf sebab masih belum ada komputer sendiri. Saya bersyukur sangat sebab ada pihak yang sudi hulurkan bantuan.

"Selain itu, harga makanan yang murah di kampus membantu mengurangkan beban kewangan. Makanan di sini murah dan sedap, jadi saya boleh berjimat dan simpan duit untuk keperluan lain," kongsi Naufal.

Difahamkan, bapanya, Muhammad Anuar Abdullah, 50, kini berada dalam jagaan Majlis Agama Islam Pahang bagi tujuan pemulihan akhlak.

Sementara itu, pihak UniSZA memaklumkan bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif universiti dalam memastikan akses pendidikan yang saksama diberikan kepada pelajar memerlukan, selaras dengan prinsip tanggungjawab sosial institusi pendidikan tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!