Cuepacs mohon Covid-19 disenaraikan penyakit diberi cuti kuarantin

Presiden Cuepacs, Adnan Mat
Presiden Cuepacs, Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan supaya kerajaan memasukkan wabak koronavirus (Covid-19) ke dalam senarai penyakit berjangkit mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2006.

Presidennya, Adnan Mat berkata, langkah itu bagi membolehkan penjawat awam mendapat kemudahan cuti kuarantin sekiranya diri sendiri atau anak-anak dijangkiti wabak tersebut.

“Berikutan pengisytiharan Covid-19 adalah pandemik, Cuepacs ingin mencadangkan supaya pihak kerajaan memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada ibu bapa atau penjawat awam kemudahan cuti kuarantin sebagaimana Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2006.

“Ia dengan memasukkan Covid-19 sebagai penyakit berjangkit dalam pekeliling tersebut atau mana-mana penyakit berjangkit dari masa ke semasa,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, ketika ini hanya enam penyakit berjangkit disenaraikan bagi membolehkan kakitangan awam mendapat cuti kuarantin.

“Enam penyakit itu adalah penyakit tangan, kaki dan mulut, demam denggi dan demam denggi berdarah, campak, cacar air atau chickenpox, difteria dan malaria,” katanya.

Kemudahan Cuti Kuarantin telah diperuntukkan di bawah Perintah Am 24 Bab C (Cuti) kepada pegawai yang dalam perjalanan balik ke Malaysia dari luar negara yang ditahan di mana-mana stesen kuarantin oleh pihak berkuasa kesihatan pelabuhan atau lapangan terbang kerana berlaku wabak penyakit berjangkit atau pegawai dikurung di rumahnya oleh mana-mana kuasa kesihatan kerana wabak penyakit berjangkit.

Tempoh yang boleh diluluskan adalah terhad kepada maksimum lima hari bagi setiap kes atau selama tempoh perakuan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai perubatan Kerajaan atau swasta mengikut mana yang lebih rendah, tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.

Artikel Berkaitan:

“Penjawat awam boleh menggunakan kemudahan Cuti Kuarantin pada bila-bila masa dalam tempoh perakuan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai perubatan Kerajaan atau swasta,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Cuepacs turut memohon agar pihak bank dapat mempertimbang untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman serta membuat penstrukturan semula pinjaman sehingga wabak itu selesai ditangani.

“Memandangkan banyak industri dan syarikat yang terjejas dan ada diantara mereka serta kakitangan telah diberi notis cuti sementara tanpa gaji akibat Covid-19, jadi Cuepacs memohon agar bank-bank juga memberi inisiatif bagi menangani wabak ini.

“Ia khususnya kepada peminjam mereja seperti penjawat awam, kakitangan syarikat dan industrui terbabit dengan menangguhkan bayaran balik pinjaman serta membuat penstrukturan semula pinjaman sehingga wabak ini selesai dan mereka kembali mempunyai pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu, Cuepacs juga turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja yang terlibat dalam menangani wabak berkenaan.

“Diharap mereka bersabar dan terus tekun dalam menjalankan tugas. Cuepacs akui akan kesusahan yang sedang mereka lalui dan tiada sebarang rungutan yang diterima walaupun bertugas dalam keadaan masa yang tidak menentu.

“Cuepacs juga mengalu-alukan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merekrut 1,000 doktor pelatih untuk membantu mengurangkan beban kerja yang dihadapi warga kerja sedia ada,” katanya.