Pelajar Tingkatan Tiga maut, rakan parah nahas

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa.
Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang pelajar Tingkatan Tiga maut manakala rakannya parah apabila motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Tok Jembal, Kuala Nerus malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.50 malam itu, mangsa iaitu Wan Muhammad Kasyaf Wan Mohd Sabri, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak maut di lokasi kejadian manakala penunggang, Muhammad Adam Zunaidi,16, tercampak ke bahu jalan.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa menaiki motosikal dari arah Gong Badak menghala ke Tok Jembal.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta yang dipandu seorang wanita dikatakan keluar dari simpang di sebelah kiri jalan, lalu merempuh motosikal itu.

Kesan rempuhan itu, mangsa tercampak ke tengah jalan sebelum dilanggar pula oleh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut manakala rakannya yang cedera menerima rawatan di hospital yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: