[VIDEO] Penggali kubur didakwa amang seksual kanak-kanak lelaki dalam tandas
TAIPING - Seorang penggali kubur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammed Syahril Reza Omar, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Duda tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam tandas wanita sebuah masjid di Kamunting dalam daerah Larut, Matang dan Selama kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 11 Julai 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Shabani Bahari.
Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syed Saifullizan Syed Abd Razak memohon satu jaminan yang minimum.

Katanya, sebagai penggali kubur, tertuduh hanya menerima elaun bulanan sebanyak RM400 dan masih perlu menanggung tiga anaknya berusia 19, 14 dan 8 tahun.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mengganggu dan mendekati mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

