Janji Dayang Nurfaizah

Dayang menjanjikan persembahan yang akan diingati buat peminat yang hadir.
Dayang menjanjikan persembahan yang akan diingati buat peminat yang hadir.
A
A
A

DI SEBALIK nama gah dan suara emasnya yang telah mewarnai industri lebih dua dekad, Dayang Nurfaizah masih bergetar hatinya setiap kali melangkah ke pentas.

Sama ada sebagai artis jemputan mahupun pemilik utama pentas, setiap persembahan bukan sekadar rutin tetapi amanah daripada rasa cinta terhadap peminat yang tidak pernah berhenti setia sejak album pertama.

Cinta itulah yang mendorong pemilik nama penuh Dayang Nurfaizah Awang Dowty merencana sebuah persembahan yang lebih dekat dan mesra menerusi 'Janji With Dayang', sebuah pertemuan istimewa di Top View, Komtar, Pulau Pinang pada 23 Ogos nanti, diikuti Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur pada 27 September depan.

Memilih ruang terbuka bukan untuk gah tetapi bagi mengikat janji dalam suasana sebenar antara penyanyi dan pendengar, antara lagu dan rasa, antara kenangan dan harapan.

“Janji With Dayang ini ialah hadiah saya untuk peminat. Saya mahu cipta memori manis bersama mereka yang tidak jemu menyokong saya, berusaha membeli tiket dan datang berjumpa saya.

“Walaupun setiap persembahan tetap ada tekanan tetapi saya ambil dari sudut positif. Tekanannya lebih kepada mahu memberi yang terbaik untuk peminat,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Janji With Dayang di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lalu terciptalah momen eksklusif, hanya antara Dayang dan mereka yang benar-benar ingin mendengar dalam erti sebenar.

Lebih istimewa, persembahan kali ini menyaksikan bintang berusia 44 tahun itu menyampaikan seleksi lagu baharu daripada album terkininya, Janji.

“Tiada gimik yang akan saya lakukan. Sebaliknya, saya mahu fokus kepada album Janji dan dalam album ini tiada lagu duet. Jadi, jangan jangka ada kejutan seperti kemunculan artis jemputan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, persembahan kali ini lebih kepada interaksi bersama peminat. Saya memang minta untuk buat persembahan begini, yang lebih intim,” jelasnya lagi.

Persembahan esklusif itu diterbitkan Usanita Entertainment dan Mask Team, manakala penyusunan muziknya yang diketuai pengarah muzik berbakat, Sze Wan.

Ditebak bilakah dia akan bersedia mengadakan konsert berskala besar seperti yang dilakukan rakan seangkatan, Dayang berkata, perancangan itu ada tetapi masih tersimpan kemas dalam hatinya. Namun, pelantun Lelaki Teragung itu tidak mahu tergesa-gesa.

“Kalau nak buat konsert, saya mahu pastikan ia sesuatu yang belum pernah saya buat. Perlu rancang perlahan-lahan dan pastikan semuanya terbaik," ujarnya yang turut menyimpan impian untuk mengadakan konsert di bumi kelahirannya, Sarawak.

Peluang kecil

Di tengah kesibukan merencana persembahan dan menjaga kualiti seni, Dayang tidak pernah lupa pada mereka yang sedang bertatih mencari ruang.

Baginya, pentas bukan milik yang ternama semata-mata. Ia juga harus menjadi tempat untuk mereka yang belum dikenali tetapi punya jiwa dan semangat yang sama besar.

Justeru, menerusi persembahan eksklusif Janji With Dayang, penyanyi yang pernah mendapat jolokan ‘Beyoncé Borneo’ itu tidak teragak-agak berkongsi pentas dengan dua bakat baharu yang kian bersinar iaitu Anwar Amzah dan Naki.

“Saya memang berbesar hati untuk berkongsi pentas dengan mereka, sebab dari situ mereka boleh tonjolkan diri.

“Saya dahulu pernah diberi peluang jadi artis pembuka untuk konsert Datuk Sheila Majid di Stadium Merdeka. Ia konsert besar untuk budak 19 tahun macam saya pada waktu itu. Sampai sekarang saya hargai pengalaman tersebut,” imbaunya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!