Skim rahsia pindah 4,500 rakyat Afghanistan ke UK terbongkar selepas kebocoran data

Isu berkenaan terbongkar susulan kebocoran data

Kebocoran itu adalah antara beberapa insiden kehilangan data yang berlaku ketika proses pemindahan besar-besaran warga Afghanistan selepas pengunduran tentera AS dari negara itu pada Ogos 2021.
Kebocoran itu adalah antara beberapa insiden kehilangan data yang berlaku ketika proses pemindahan besar-besaran warga Afghanistan selepas pengunduran tentera AS dari negara itu pada Ogos 2021.
A
A
A

LONDON - Seramai 4,500 rakyat Afghanistan telah dipindahkan ke United Kingdom (UK) menerusi satu skim rahsia yang diwujudkan susulan kebocoran maklumat peribadi hampir 19,000 pemohon skim pemindahan ketika Taliban kembali berkuasa di Kabul pada 2021.

Perkara itu hanya terbongkar selepas Mahkamah Tinggi London pada Selasa mengarahkan perintah sekatan yang menghalang sebarang pendedahan maklumat tersebut selama lebih setahun dibatalkan atas alasan kepentingan awam.

Kebocoran tersebut berlaku pada Februari 2022 apabila seorang pegawai Kementerian Pertahanan (MoD) UK secara tidak sengaja menghantar fail Excel mengandungi nama, maklumat hubungan dan keluarga kepada pihak luar menggunakan sistem tidak rasmi.

Perkara itu hanya diketahui kerajaan terdahulu pada Ogos 2023 apabila sebahagian maklumat peribadi tersebut muncul dalam kumpulan Facebook, dipercayai telah dibaca atau dikongsi oleh individu yang bersekutu dengan Taliban.

Susulan itu, kerajaan UK menubuhkan skim baharu dinamakan Afghan Relocation Route pada Mei 2024 yang telah menempatkan ribuan pemohon dan ahli keluarga mereka di UK secara rahsia namun ramai lagi yang masih berada di Afghanistan.

Menurut Kementerian Pertahanan, terdapat 600 askar Afghanistan dan 1,800 ahli keluarga mereka yang terlibat dalam kebocoran masih belum dipindahkan.

Menteri Pertahanan UK, John Healey dalam kenyataan di Parlimen memohon maaf secara terbuka kepada mereka yang terkesan dan mengakui kejadian itu berpunca daripada kesilapan besar peringkat jabatan hasil penggunaan sistem emel luar yang tidak dibenarkan.

“Kami mengakui insiden ini sebagai satu kegagalan serius dan kami bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata mereka yang telah tiba di UK sudah pun dimasukkan dalam angka rasmi imigresen.

Artikel Berkaitan:

Healey juga menjelaskan bahawa kebocoran itu adalah antara beberapa insiden kehilangan data yang berlaku ketika proses pemindahan besar-besaran warga Afghanistan selepas pengunduran tentera AS dari negara itu pada Ogos 2021.

Kementerian Pertahanan bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada mana-mana individu telah ditahan, diserang atau terbunuh susulan kebocoran tersebut.

Menurut laporan semakan dalaman yang dijalankan oleh MoD, kebarangkalian seseorang menjadi sasaran semata-mata kerana kebocoran data itu adalah sangat rendah dan maklumat tersebut “mungkin tidak tersebar luas seperti yang dibimbangkan”.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa perintah super-injunction dimohon secara peribadi oleh bekas Menteri Pertahanan, Ben Wallace, bertujuan memberikan masa kepada kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlindungan.

Dalam penghakiman beliau, Hakim Mahkamah Tinggi, Mr Justice Chamberlain menyifatkan perintah tersebut sebagai luar biasa dan telah mewujudkan kekosongan semakan yang menyekat mekanisme akauntabiliti demokrasi.

Katanya, adalah amat mungkin individu yang melihat senarai bocor itu dalam kumpulan Facebook merupakan penyokong Taliban atau berkongsi maklumat itu kepada mereka yang bersekutu dengan Taliban.

Susulan keputusan itu, pihak MoD telah menghantar emel amaran kepada semua yang terlibat dalam insiden tersebut supaya lebih berhati-hati dan mengelak berinteraksi dengan mesej mencurigakan dalam talian.

Skim pemindahan rahsia itu yang telah menelan belanja 400 juta pound sterling (RM2.4 bilion) dijangka memerlukan tambahan perbelanjaan hingga 450 juta pound sterling (2.5 bilion) lagi sebelum ia ditamatkan sepenuhnya. Namun, tawaran pemindahan yang telah dibuat akan tetap dihormati.

Dalam pada itu, kerajaan UK turut mengesahkan bayaran pampasan telah ditawarkan kepada beberapa pemohon yang terkesan akibat kebocoran data dalam satu insiden berasingan.

Peguam Erin Alcock dari firma guaman Leigh Day yang mewakili ratusan pemohon skim Arap berkata, insiden itu mencerminkan kegagalan menyeluruh oleh pihak kerajaan dalam melindungi keselamatan mereka.

Sementara itu, jurucakap Downing Street enggan mengulas sama ada tindakan tatatertib telah dikenakan ke atas pegawai yang menyebabkan kebocoran berkenaan.

Dalam kenyataan di Parlimen, Setiausaha Pertahanan Bayangan, James Cartlidge menegaskan bahawa kebocoran tersebut adalah pelanggaran serius terhadap semua protokol data dan tidak sepatutnya berlaku.

Kebocoran yang berlaku terhadap pemohon Afghan Relocations and Assistance Policy (ARAP) ini turut menyentuh nama pegawai tinggi tentera, penjawat awam dan ahli Parlimen yang berisiko tinggi menjadi sasaran Taliban jika data itu jatuh ke tangan musuh.

Insiden itu sekali lagi mencalarkan reputasi UK dalam pengurusan pemindahan pelarian Afghanistan, selepas laporan siasatan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Luar pada 2022 menyifatkan keseluruhan operasi evakuasi sebagai ‘pengkhianatan dan bencana’.

Pendedahan kes itu dijangka akan mencetuskan gesaan kepada kerajaan UK untuk meningkatkan integriti sistem keselamatan data serta menjamin perlindungan lebih menyeluruh kepada pemohon pelarian di masa depan. - BBC

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!