Penstrukturan semula pinjaman PTPTN bantu ringankan beban peminjam

PUTRAJAYA - Kemudahan penstrukturan semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disifatkan sebagai satu inisiatif bijak dalam membantu meringankan beban kewangan peminjam, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Langkah itu membolehkan peminjam menyesuaikan bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan masingmasing, tertakluk kepada kelayakan tempoh bayaran balik dan kelulusan PTPTN.
Inisiatif itu turut memberi ruang kepada peminjam untuk memanjangkan tempoh bayaran balik, sekali gus memastikan pembayaran dilakukan secara konsisten dan tidak membebankan.
Bagi Suhazlin Shahrul Anuar, kemudahan tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kewangan, malah memberi motivasi baharu untuk terus membayar balik pinjaman pengajian yang pernah dinikmatinya lebih satu dekad lalu.

Menurut Suhazlin, 35, beliau membuat pinjaman PTPTN berjumlah RM16,950 ketika mengikuti pengajian di Politeknik Johor Bahru pada September 2007 sebelum memilih untuk membuat penstrukturan semula pinjaman selama 91 bulan bermula Disember tahun lalu sehingga Jun 2032.
“Komitmen kewangan saya bertambah terutama selepas beli rumah tetapi saya tidak mahu pinjaman ini tertunggak terlalu lama. Saya ambil keputusan untuk struktur semula pinjaman ikut kemampuan semasa.
“Sekarang saya hanya bayar RM95.36 sebulan dan itu jumlah yang sangat selesa dengan keadaan kewangan saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Tambah Suhazlin, proses penstrukturan yang ditawarkan PTPTN sangat mudah dan tidak membebankan peminjam.
“Saya hanya hubungi PTPTN dan mereka terangkan semuanya dengan jelas. Paling menyeronokkan, semua urusan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dan sangat mudah.
“Apabila beban kewangan jadi ringan, saya pun lebih tenang. Saya buat bayaran melalui debit terus, setiap bulan memang saya pastikan tak tertinggal bayarannya,” katanya.
Bagi Suhazlin, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan PTPTN dalam menangani realiti kewangan anak muda dan setiap sen yang dibayar dapat membantu lebih ramai pelajar generasi baharu menyambung pengajian.
Sementara itu seorang guru, Nurul Syamimie Hussin, turut berkongsi pengalaman membuat penstrukturan semula pinjaman selepas menghadapi kesukaran membayar jumlah ansuran asal secara konsisten.

Menurutnya, beliau mula membuat pinjaman pendidikan daripada PTPTN pada tahun 2016 ketika melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan jumlah keseluruhan pinjaman sekitar RM20,000.
“Waktu itu pendapatan bulanan saya belum mencukupi untuk menampung semua komitmen yang ada termasuk bayaran pinjaman. Saya ambil keputusan untuk struktur semula pinjaman supaya bayaran bulanan lebih sesuai dengan keadaan kewangan semasa,” katanya.
Selepas pelan baharu diluluskan, beliau berasa lega kerana beban bulanan berjaya diringankan, seterusnya memberi ruang untuk terus membuat bayaran secara konsisten.
Mengulas mengenai proses penstrukturan, Nurul Syamimie memuji pendekatan PTPTN yang mesra serta mudah diakses.
“Pegawai sangat membantu dan penerangan mereka jelas. Tidak perlu ke pejabat pun kerana hanya menggunakan saluran atas talian. Semuanya lancar dan efisien.
“Dana itu bukan milik kita seorang. Kita bayar balik jadi lebih ramai pelajar lain akan dapat nikmati kemudahan sama. Itulah sebabnya saya rasa ini satu tanggungjawab bersama,” tambahnya.
PTPTN menyeru kepada peminjam yang tidak pernah membuat pembayaran supaya tampil berunding dan membuat penstrukturan semula pinjaman dengan pelan pembayaran yang lebih fleksibel mengikut kemampuan kewangan.
Muat turun aplikasi myPTPTN untuk rundingan bagi permohonan Penstrukturan Semula Pinjaman dan maklumat yang lebih mudah, cepat dan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
