Marah pendingin hawa tak sejuk, penumpang cuba ceroboh kokpit

NEW DELHI – Penerbangan SpiceJet dari Delhi ke Mumbai terpaksa berpatah balik ke ruang parkir selepas dua penumpang bertindak agresif dan cuba memasuki kokpit gara-gara tidak berpuas hati dengan sistem pendingin hawa dalam pesawat.
Insiden mencemaskan itu berlaku pada Isnin ketika pesawat SG 9282 mula menuruni landasan untuk berlepas pada jam 12.30 tengah hari.
Namun, dua lelaki dari bahagian belakang kabin didakwa menjerit dan memaksa kru menghidupkan pendingin hawa.
Rakaman video tular menunjukkan penumpang lain cuba menenangkan keadaan sambil mengingatkan bahawa tindakan mereka adalah satu kesalahan.
“AC chala de, hum baith jayenge (Hidupkan pendingin hawa, kami akan duduk),” kedengaran suara dari arah belakang kabin.
Kru kabin kemudian memaklumkan kepada juruterbang dan pasukan Keselamatan Industri Pusat (CISF) dipanggil untuk membawa keluar dua individu terbabit. Mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa keselamatan.
Menurut syarikat penerbangan itu, kru telah beberapa kali mengarahkan kedua-dua penumpang kembali ke tempat duduk, namun tidak diendahkan. Atas faktor keselamatan, pesawat diarahkan kembali ke pintu pelepasan dan kesemua penumpang terpaksa turun semula.
Penerbangan itu akhirnya berlepas semula pada jam 7.21 malam dan tiba di Mumbai kira-kira 9.05 malam – lewat hampir tujuh jam dari jadual asal. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kelewatan itu berpunca sepenuhnya daripada insiden gangguan berkenaan.
Insiden penumpang tidak berdisiplin semakin kerap berlaku di India. Pada 2023, seorang lelaki didakwa kencing pada penumpang lain dalam penerbangan dari New York ke Delhi, manakala pada 2022, kes serupa berlaku dalam kabin kelas perniagaan Air India.
Susulan kejadian-kejadian itu, pihak Pengarah Jeneral Penerbangan Awam (DGCA) India telah memperkenalkan langkah ketat untuk mengawal tingkah laku penumpang dan memastikan keselamatan dalam penerbangan.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

