Bandung kini bandar paling sesak di Indonesia

Kesesakan bertambah buruk semasa hari cuti.- Agensi
Kesesakan bertambah buruk semasa hari cuti.- Agensi
A
A
A

BANDUNG – Bandar Bandung kini dinobatkan sebagai bandar paling sesak di Indonesia menurut Indeks Trafik TomTom, malah berada di kedudukan ke-12 dunia sebagai antara bandar paling sesak.

Menjawab isu tersebut, Jabatan Pengangkutan Kota Bandung menyatakan bahawa sikap pengguna jalan raya yang tidak berdisiplin merupakan antara punca utama kepada kesesakan trafik berkenaan.

Ketua Bahagian Kawalan Operasi Jabatan Pengangkutan Bandung, Asep Kuswara berkata, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan bermula dari punca hingga ke peringkat akhir bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Kita perlu selesaikan dari hulu ke hilir, tetapi saya mohon masyarakat juga patuh kepada peraturan. Contohnya, jika tempat itu dilarang parkir, jangan parkir di situ. Setiap pihak perlu ada kerjasama dan koordinasi,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kota Bandung pada Isnin.

Jelas Asep, walaupun terdapat lebih 150 lampu isyarat di seluruh bandar itu, ia bukanlah penyebab kepada kesesakan, sebaliknya berperanan untuk mengurangkan tekanan lalu lintas.

“Masalahnya, masyarakat tidak sabar dan suka memotong giliran. Apabila satu laluan sesak, masuk pula dari laluan lain hingga menyebabkan semuanya lumpuh,” jelasnya.

Menurutnya, pihak berkuasa juga mendapati ramai pengguna jalan raya tidak mematuhi peraturan seperti meletakkan kenderaan di bahu jalan, yang turut menyumbang kepada kesesakan.

“Parkir di bahu jalan itu sudah jelas tidak dibenarkan, namun masih ramai yang melakukannya. Tindakan tidak berdisiplin sebegini menyukarkan kelancaran trafik,” ujarnya.

Berdasarkan data Indeks Trafik TomTom, purata masa perjalanan di Bandung bagi setiap 10 kilometer mencecah 33 minit.

Artikel Berkaitan:

Ini menjadikan Bandung sebagai bandar paling sesak di Indonesia, mengatasi Medan (32 minit), Palembang (28 minit), Surabaya (27 minit) dan Jakarta (23 minit). Malah, Bandung kini menduduki tangga ke-12 bandar paling sesak di dunia, jauh lebih tinggi berbanding Jakarta yang berada di tempat ke-90.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!