'Perjumpaan atas usaha ketua UMNO bahagian'

SHAH ALAM - Perjumpaan ketua-ketua UMNO bahagian di ibu negara Khamis ini dianjurkan atas inisiatif sendiri dan tidak melibatkan pengurusan tertinggi UMNO.
"Memang sah akan ada perjumpaan, tetapi bukan program rasmi parti, sebaliknya usaha ketua-ketua bahagian," jelas sumber dalaman UMNO kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, setakat ini lebih 140 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara sudah mengesahkan kehadiran.
Menurut sumber tersebut, perjumpaan itu tercetus susulan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong yang dikatakan membenarkan Najib menjalani hukuman secara tahanan rumah.
"Kami sudah lama bersabar, tapi bila ada pemimpin yang mempertikai titah tersebut, kami tak boleh diam lagi. Ini bukan soal individu, tapi maruah dan keadilan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan lokasi perjumpaan dijangka berlangsung di sebuah hotel di Bukit Bintang di Kuala Lumpur.
Jelas beliau, kemungkinan perhimpunan lebih besar turut diadakan selepas pertemuan itu membabitkan ahli-ahli UMNO seluruh negara.
Katanya, langkah itu diambil selepas melihat kerajaan seolah-olah berdiam diri dalam isu Titah Adendum, selain tekanan berterusan daripada beberapa tokoh pembangkang.
“Kami tahu kes Najib bermotif politik sejak awal. Kali ini, ketua-ketua bahagian bergerak sendiri tanpa campur tangan pucuk pimpinan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

