​Kematian dalam tahanan: KPN arah JSJ Bukit Aman teliti dan siasat

Mohd Khalid
Mohd Khalid
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) meneliti dan menyiasat kematian Noorizwan Zulkefly, 42, ketika dalam tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, 1 Oktober lalu.

​Mohd Khalid berkata, langkah itu diambil susulan penemuan beberapa kecederaan luar biasa pada tubuh Allahyarham, namun menjelaskan pihaknya masih menanti laporan penuh berhubung punca sebenar kematian.

​"Pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang menyiasat kematian dalam tahanan sudah mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini, tetapi kita masih menanti laporan makmal berhubung sebab kematian.

​"Tetapi daripada apa yang kita lihat ini, ada beberapa kecederaan yang agak luar biasa yang memerlukan perhatian, dan saya meminta pihak JSJ, terutama pengarahnya, Datuk M Kumar untuk menjalankan siasatan secepat mungkin," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Ahad.

​Mohd Khalid juga sudah mengarahkan pihak JSJ untuk mengeluarkan kenyataan dan memaklumkan perkembangan siasatan kes itu kepada awam secepat mungkin.

​Terdahulu, media melaporkan hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan pada organ dalaman Noorizwan.

​Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid dilaporkan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pihak forensik hanya menemukan kecederaan luaran pada tubuh mangsa.

​Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah berhubung dengan Ketua Polis Negara dan mengarahkan siasatan telus serta menyeluruh dijalankan berhubung kematian tahanan berkenaan.

​Kenyataan Perdana Menteri itu dibuat susulan kehadiran waris Noorizwan ke kediaman peribadi Anwar bagi menyerahkan surat rayuan memohon campur tangan secara terus daripada beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!