DBKL bertindak segera atasi isu kebersihan Jalan Gallagher

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius teguran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berhubung isu kebersihan di sepanjang Jalan Gallagher di ibu negara.
Teguran baginda merangkumi masalah sampah sarap, saliran tersumbat serta gangguan monyet liar yang menjejaskan keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan tersebut.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak berkuasa tempatan itu telah mengambil tindakan segera dan menyeluruh dengan kerjasama agensi berkaitan sebagai respon terhadap keprihatinan baginda.
“DBKL telah mengarahkan SWCorp dan Alam Flora untuk segera mempertingkatkan tahap serta kekerapan kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit.
“Lokasi kutipan sampah sementara yang dikenal pasti sebagai punca utama kekotoran dan menarik kehadiran monyet turut diarahkan untuk ditutup,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya.
Menurut DBKL, tindakan pembersihan secara serta-merta telah pun dilaksanakan termasuk pencucian longkang, pemotongan rumput dan semak samun, pemangkasan dahan pokok yang menghalang laluan serta penyingkiran dahan reput.
Kerja pencucian jalan turut dilakukan bagi memastikan persekitaran yang lebih bersih dan selamat.
Pada masa yang sama, bagi memperkemas pengurusan sisa pepejal, DBKL mengarahkan agar tong sampah sedia ada digantikan dengan tong yang lebih kukuh dan tahan gangguan haiwan.
“Setiap rumah juga akan menerima tong individu bagi membolehkan kutipan dilakukan secara terus dari rumah ke rumah, sekali gus mengurangkan risiko sisa terdedah yang menarik kehadiran haiwan liar,” katanya lagi.
DBKL turut memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menangani isu monyet liar yang berulang di kawasan terbabit.
“Perhilitan sebelum ini telah beberapa kali memasang perangkap di lokasi tumpuan seperti kawasan tong sampah dan kediaman ketua-ketua kerajaan termasuk Istana Negara. Pemasangan perangkap baharu akan dilaksanakan segera dan pemantauan dipertingkatkan,” ujarnya.
Selaras dengan titah baginda, DBKL juga melaksanakan kerja-kerja pemangkasan pokok serta penambahbaikan landskap di sepanjang laluan Jalan Gallagher bagi meningkatkan imej persekitaran dan menjamin keselamatan awam.
“DBKL menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas keprihatinan baginda.
“DBKL komited memastikan kebersihan, kesejahteraan dan keselesaan warga kota sentiasa menjadi keutamaan menerusi pemantauan berterusan dan tindakan segera bersama agensi-agensi berkaitan,” tambah kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

