Ulang kaji asas sistem kenegaraan kita

PARLIMEN akan bersidang lagi selama 24 hari, bermula dengan Dewan Rakyat antara 21 Julai 2025 sehingga 24 Ogos 2025, dan Dewan Negara antara 25 Ogos 2025 sehingga 10 September 2025.
Sidang Parlimen kali ini pasti lebih hangat berdasarkan beberapa perkembangan isu semasa misalnya isu tarif perdagangan dengan Amerika Syarikat, isu pelantikan hakim-hakim kanan, perluasan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) dan sebagainya.
Bagus juga bila ada isu-isu yang hangat diperkatakan ramai kerana ia akan menjadikan sidang Parlimen lebih dinantikan untuk wakil-wakil rakyat berbahas dan Kabinet menjawab pelbagai soalan yang dibangkitkan.
Dulu kita selalu mengimpikan siaran langsung sidang Parlimen. Kini, dengan perkembangan teknologi, semua berpeluang menontonnya atas talian.
Isu-isu semasa yang diperkatakan menyediakan saat boleh didik (teachable moment) kepada kita. Untuk kali ini, kita boleh mengulang kaji doktrin pengasingan kuasa.
Eksekutif, Parlimen dan Kehakiman
Perbincangan tentang pengasingan kuasa boleh dijejak sehingga ke zaman Yunani sebelum diperbaharui dan dikemaskan lagi oleh pemikir-pemikir lain kemudiannya.
Dalam pentadbiran moden sistem demokrasi, doktrin pengasingan kuasa memisahkan fungsi kerajaan kepada tiga badan iaitu Eksekutif, Legislatif (badan perundangan atau Parlimen) dan Kehakiman.
Tujuannya jelas, untuk mengelak penompokan kuasa kepada mana-mana pihak yang sering mendorong salah guna kuasa dan kezaliman, memastikan semak dan imbang berlaku selain melancarkan urusan masing-masing.
Dalam konteks negara Malaysia kini, Perkara 39 hingga 43C Perlembagaan Persekutuan telah menjelaskan bahawa badan Eksekutif terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Jemaah Menteri dan Perkhidmatan Awam.
Badan Eksekutif berkuasa membuat instrumen perundangan, keputusan mengenai dasar, menjalankan pembangunan dan sebagainya.
Dalam Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dijelaskan bahawa kuasa perundangan Persekutuan terletak hak pada Parlimen hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Perkara 121 hingga 131A pula menjelaskan tentang Kehakiman. Ia bukan sahaja mengadili atau mendengar rayuan kes-kes yang dibicarakan, tetapi juga menafsir undang-undang malah Perlembagaan sekiranya ada pertikaian.
Pelantikan hakim-hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui prosesnya tersendiri.
Jika diteliti, ternyata peranan Yang di-Pertuan Agong, sebagai ketua negara, ada dalam ketiga-tiga cabang ini.
Semak dan Imbang
Bagaimana semak dan imbang berlaku?
Walaupun ketiga-tiga cabang ini membentuk kerajaan, umumnya masyarakat hanya melihat badan Eksekutif sebagai ‘kerajaan’. Ini kerana badan Eksekutif yang banyak mentadbir urusan harian rakyat.
Meskipun badan Eksekutif mempunyai lebih banyak ruang membuat undang-undang, dasar dan pembangunan, Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa Jemaah Menteri bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.
Ini bermaksud, dari semasa ke semasa sidang Parlimen mesti dipanggil, Dalam amalan negara kita, Parlimen tidak boleh berhenti bersidang melebihi enam bulan daripada sidang terakhir.
Penentuan tarikh sidang juga boleh menjadi satu cara bagaimana Eksekutif ‘mengawal’ Parlimen.
Melalui sidang inilah pelbagai soalan dan pandangan diberikan kepada ‘kerajaan’ untuk dijawab atau dijelaskan.
Sesi perbahasan dan soal jawab di Parlimen adalah sebahagian cara semak dan imbang yang berlaku dalam cabang Parlimen itu sendiri.
Pada tahap yang lebih serius, lazimnya jika ada isu yang amat besar, undi tidak percaya dibuat kepada Ketua Eksekutif bagi membolehkan kerajaan atau pemerintah dijatuhkan.
Namun, ini jarang berlaku kerana Eksekutif juga mempunyai caranya sendiri untuk memastikan kestabilan terutama dalam pemilihan Yang Dipertua Dewan secara undian oleh ahli dewan perundangan.
Undang-undang yang dibawa, dibahas dan diluluskan di Parlimen lazimnya melalui beberapa prosesnya tersendiri. Ini termasuk penglibatan pakar bidang, rundingan dengan pemegang taruh dan persetujuan Jemaah Menteri yang mesti mengambil tanggungjawab kolektif.
Walaupun Parlimen berkuasa meluluskan undang-undang dan Perlembagaan, malah boleh juga menentukan bidang kuasa mahkamah, kelulusan tersebut masih boleh dicabar di mahkamah di mana badan kehakiman yang diwakili oleh hakim-hakim boleh membuat semakan dan memberi tafsiran terhadapnya.
Ini boleh dilihat misalnya dalam tafsiran Seksyen 9(5A) Akta Perkhimpunan Aman sebagai tidak sah dari segi Perlembagaan.
Eksekutif menyemak imbang Kehakiman melalui dalam proses pelantikan hakim-hakim yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan juga kuasa pengampunan.
Secara keseluruhannya, kita dapat melihat ketiga-tiga cabang kerajaan ini bukan sahaja menyemak imbang antara satu sama lain, tetapi juga mempunyai mekanisme tertentu untuk membuat semak dan imbang dalaman terhadap cabang masing-masing.
Kita mesti mengambil tahu dan memahami pemisahan kuasa dan fungsi semak dan imbang ini untuk memastikan setiap cabang kerajaan berfungsi dan memberi manfaat kepada semua.
* Noor Amin bin Ahmad ialah Pengerusi, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Beliau merupakan mantan ahli Parlimen Kangar (2018-2022).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
