Lelaki Indonesia sorok rokok seludup RM2.2 juta di kuari

PASIR PUTEH - Seorang lelaki warganegara Indonesia dicekup selepas dipercayai menyorok 1.15 juta batang rokok putih bernilai RM2.2 juta di sebuah kawasan kuari dekat Jerus di sini pada Jumaat.
Serbuan jam 6.30 pagi itu dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa melakukan Op Taring Alpha Satu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, semasa serbuan dilakukan lelaki berkenaan ditemui bersembunyi dalam sebuah kabin dan hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Hasil serbuan kami menemui 1.15 juta batang rokok putih berada dalam sebuah kenderaan dan kontena di lokasi berkenaan.
"Rokok-rokok ini disyaki diseludup dan untuk dijual ke pasaran tempatan," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Ujar beliau, suspek dan hasil rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Putih untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1) c Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


