'Bukan Ella, Datuk Awie tetapi bapa Nabila Huda' – Shila Amzah

Shila sudah membuat laporan polis selepas diherdik penyanyi legenda itu di khalayak ramai pada Khamis lalu.
Shila sudah membuat laporan polis selepas diherdik penyanyi legenda itu di khalayak ramai pada Khamis lalu.
A
A
A

PENYANYI Shila Amzah akhirnya tampil menjelaskan identiti penyanyi legenda yang didakwa ‘menyerangnya’ baru-baru ini, selepas spekulasi hangat melibatkan beberapa nama besar industri.

Menurut Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, penyanyi yang dimaksudkan bukanlah Ella mahupun Datuk Awie.

“Apa yang pasti bukan Kak Ella, bukan Datuk Awie. Siapa yang cakap Datuk Awie, tolong berhenti dan bukan nama-nama lain yang berada di konsert hari itu.

“Tapi bapa kepada Nabila Huda. Saya sahkan. Kalau lihat pada laporan, keterangan sudah diambil,” jelasnya.

Sebelum ini, Shila dikatakan telah ‘diserang’ secara bersemuka ketika sesi latihan Konsert Ulang Tahun ke-20 MR D.I.Y di Stadium Merdeka pada Khamis lalu, dipercayai berpunca daripada ciapan yang dibuatnya di platform X.

Dalam ciapan tersebut, Shila menyatakan sokongan terhadap luahan Nabila atau mesra dengan panggilan Abil berkenaan isu hubungan dengan ibu tiri.

Namun jelas Shila, dia tidak berniat mencampuri urusan sesiapa, sebaliknya hanya memberi sokongan sebagai rakan seindustri yang turut melalui pengalaman hampir serupa.

“Masalah keluarga saya sangat-sangat umum. Apabila saya mengeluarkan kenyataan menyokong kenyataan Abil sebagai rakan industri, melalui liku-liku kehidupan bersama keluarga, sesuatu yang sama berlaku pada kami berdua,” katanya dalam program hiburan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Nabila Huda secara terbuka mengakui berdepan konflik dengan ibu tirinya.
Nabila Huda secara terbuka mengakui berdepan konflik dengan ibu tirinya.

Tambah penyanyi lagu Jauh Hati itu lagi, kenyataannya tidak menyasarkan mana-mana individu secara khusus, malah lebih merujuk kepada pengalaman peribadi bersama ibu tiri.

“Saya rasa kita bagi sokongan pada rakan, tidak sebut nama sesiapa. Saya sebut lebih kepada mak tiri saya. Jadi apabila dikatakan saya mengacau keluarga orang lain, perkara itu sama sekali tidak benar. Tiada asas,” ujarnya.

Ekoran insiden di konsert, Shila turut membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad sebelum ini mengesahkan rasa tidak puas hati kerana mencampuri urusan keluarga dipercayai menjadi punca Shila diherdik oleh penyanyi legenda terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!