Bayi ditinggal tepi jalan, mujur tidak diapa-apakan haiwan liar - Penduduk

SUNGAI PETANI - Bayi lelaki yang ditinggalkan di tepi jalan tanpa pakaian dan tidak berlapik di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau pada Sabtu kemungkinan baru diletakkan di lokasi kejadian.
Penduduk setempat memaklumkan kawasan berkenaan yang berhampiran ladang kelapa sawit sering menjadi laluan anjing dan monyet liar, namun bayi terbabit dilaporkan berada dalam keadaan baik.
"Mujurlah tiada apa-apa berlaku. Kawasan ini memang dekat dengan rumah orang tetapi monyet dan anjing liar banyak. Bayi itu langsung tidak diusik, mungkin baru letak, tak nampak macam semut hurung," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.42 pagi, seorang wanita yang sedang menjemur pakaian terdengar tangisan bayi sebelum mencari punca bunyi berkenaan.

“Saya mula rasa pelik sebab setahu saya tiada siapa yang ada anak kecil di kawasan ini.
"Saya terus cari suara itu, tengok dalam longkang, tepi jalan, akhirnya terkejut jumpa bayi dekat tepi jalan yang terletak bersebelah dengan ladang kelapa sawit,” katanya.
Wanita itu cuba mendekati bayi berkenaan namun tidak berani untuk mengangkatnya, sebelum memanggil suami dan jiran lain untuk membantu.
"Bila saya pergi jenguk, dia terus berhenti menangis, saya kemudian menjerit memanggil suami dan minta buat laporan polis,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk berkata, dia turut terdengar suara bayi menangis sekitar jam 9 pagi tetapi menyangka ia datang dari rumah jiran.
“Saya memang tak syak apa-apa sehinggalah dengar suara jiran riuh cakap ada jumpa bayi. Waktu tu baru kami semua keluar tengok dan bantu bawa bayi itu ke tempat selamat,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, bayi terbabit dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, bayi lelaki itu berada dalam keadaan sihat, namun terdapat sedikit calar pada mata kanan dan badan sebelah kanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

