Suami disyaki bunuh isteri sebelum ditemui mati di jejambat

MEDAN – Pasangan suami isteri yang tinggal di Kompleks Nicoland, Kecamatan Medan Johor, Indonesia, ditemui meninggal dunia di dua lokasi berasingan dalam kejadian pada Jumaat.
Lelaki terbabit, Dedi Rispa Tarigan disahkan meninggal dunia selepas ditemui di jejambat Jamin Ginting sekitar jam 8 pagi waktu tempatan.
Sementara itu, isterinya, Sanika Ginting pula ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan berlumuran darah di sebuah bilik di kediaman mereka.
Ketua Polis Deli Tua, Kompol P Simbolon mengesahkan insiden tersebut sebagai kes pembunuhan yang berlaku di Kompleks Nicoland, Kecamatan Medan Johor pada hari yang sama.
Menurut Simbolon, siasatan awal mendapati Dedi Rispa dipercayai telah membunuh isterinya sebelum dia sendiri ditemukan mati di jejambat berkenaan.
“Insiden itu terbongkar apabila seorang wanita ingin memaklumkan kepada keluarganya bahawa abang iparnya, Dedi Rispa terlibat dalam kemalangan di jejambat Jamin Ginting.
“Ketika dalam perjalanan untuk menyampaikan berita itu, wanita berkenaan terkejut apabila menemui kakaknya terbaring tidak bernyawa di bilik tidur,” katanya.
Wanita tersebut kemudian segera memanggil penduduk setempat untuk membantu memeriksa keadaan mangsa.
Simbolon turut memaklumkan bahawa tiada tanda-tanda pencerobohan atau kerosakan pada barangan berharga di luar rumah Sanika, dan sebuah kereta Toyota Innova berwarna hitam turut dilihat diparkir di halaman rumah tersebut.
Pihak polis turut berkunjung ke rumah Dedi Rispa Tarigan untuk mendapatkan keterangan lanjut daripada anggota keluarganya.
Petugas turut segera ke lokasi kejadian untuk memeriksa keadaan Sanika dan membawanya ke Hospital Bhayangkara Medan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

