Mangsa serangan buaya ditemui meninggal dunia

LIMBANG - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai diserang buaya di Sungai Kampung Pendam di sini Selasa, ditemukan meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Rabu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, jasad, Karim Osman, 58, ditemui dalam keadaan sempurna pada jam 2.28 petang kira-kira satu kilometer dari lokasi Pusat Kawalan Bomba (PKB), oleh pasukan SAR yang menggunakan teknik pencarian di permukaan.
"Operasi SAR hari kedua dimulakan seawal jam 9 pagi dengan pencarian dilakukan di sepanjang sungai dalam radius satu hingga dua kilometer, di kawasan yang dipercayai lokasi terakhir kelibat buaya itu kelihatan sebelum insiden berlaku," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, jasad mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian yang pada jam 3.13 petang Selasa, mangsa dipercayai dibaham buaya ketika sedang memancing di tebing sungai berhampiran Kampung Pandam dan saksi memaklumkan hanya barangan peribadi dan peralatan memancing milik mangsa ditemui di lokasi kejadian.
Pasukan SAR semalam turut melaporkan kelibat seekor buaya timbul seketika di permukaan air dengan objek menyerupai jasad manusia berada dalam mulut reptilia itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
