MATTA nafi semua kes kemalangan bas libatkan agensi pelancongan

Wong (kanan) dan Subramaniam (kiri) pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Wong (kanan) dan Subramaniam (kiri) pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menegaskan tidak semua insiden kemalangan membabitkan bas yang berlaku mempunyai kaitan dengan agensi pelancongan berlesen.

Presidennya, Nigel Wong berkata, tanggapan umum mengaitkan setiap kemalangan bas berpunca daripada syarikat pelancongan adalah tidak adil dan mengelirukan.

"Ada kemalangan melibatkan bas kilang, bas sekolah atau pengendali tidak berlesen, tetapi tetap dilabel sebagai bas pelancongan.

"Keadaan ini telah memberi imej buruk kepada industri kami,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, tindakan sesetengah pihak menjatuhkan hukuman secara menyeluruh terhadap syarikat pelancongan tanpa siasatan terperinci hanya menambahkan beban kepada pemain industri sah yang sudah pun mematuhi pelbagai peraturan ketat.

Ujar beliau, MATTA kesal dengan tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengarahkan agensi pelancongan mengemukakan laporan kemalangan dalam tempoh 24 jam atau berdepan pembatalan lesen.

"Kami akui kepentingan laporan kepada MOTAC, tetapi tempoh itu tidak munasabah kerana banyak faktor boleh menyumbang kepada kemalangan.

"Antara faktor itu mungkin berpunca daripada pemandu, keadaan jalan atau pihak ketiga, maka, siasatan perlu dijalankan dahulu," ujar beliau.

Tambahnya, pendekatan menghukum sebelum proses siasatan diselesaikan bercanggah dengan prinsip keadilan dan memberi kesan ekonomi besar kepada pengusaha pelancongan sah.

Artikel Berkaitan:

Wong turut membangkitkan isu kurangnya tindakan terhadap pengendali pelancongan haram yang terus beroperasi tanpa lesen.

"Selagi operator haram bebas beroperasi, industri ini akan terus terkesan. Penguatkuasaan mesti diperketatkan, bukan hanya terhadap pemain industri sah,” tegasnya.

Justeru, katanya, semua agensi terlibat termasuk MOTAC, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil pendekatan holistik serta mempergiatkan dialog dengan pengusaha pelancongan.

"Jangan jadikan setiap insiden sebagai alasan untuk kenakan peraturan baru secara tiba-tiba kerana industri pelancongan perlu disokong, bukan terus dihukum,” tambah beliau.

Sementara itu, Naib Presiden Pengangkutan Darat, Subramanium Kandasamy berkata, pihaknya merayu kepada kerajaan supaya tidak terburu-buru melaksanakan peraturan baharu tanpa perbincangan bersama pihak berkepentingan terlebih dahulu.

Jelas beliau, pelaksanaan sebarang peraturan baharu boleh menjejaskan pendapatan syarikat dan kebajikan pemandu.

Jelas Subramaniam, pihaknya menyokong aspek keselamatan penumpang yang ditekankan kerajaan, namun menegaskan sebarang pelaksanaan peraturan baharu perlu diberikan tempoh masa munasabah dan bukannya dikuatkuasakan serta merta selepas diumumkan.

"Contohnya jika berlaku kemalangan kecil, pemandu boleh digantung serta-merta dan permit syarikat boleh ditarik balik.

"Ia bukan sahaja menjejaskan operasi, malah pendapatan syarikat serta keluarga pemandu terlibat,” katanya.

Menurut beliau, dalam sesetengah kes, syarikat terpaksa membayar gaji pemandu walaupun mereka telah digantung dan pada masa sama perlu mencari pengganti untuk meneruskan operasi.

"Jika kami tidak bayar gaji kepada pemandu yang digantung, mereka berhak membuat aduan kepada pihak berwajib dan memberi tekanan besar kepada syarikat,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengadakan sesi libat urus bersama persatuan berkaitan sebelum melaksanakan sebarang perubahan drastik terhadap peraturan industri.

"Kami menyokong had laju 90 kilometer perjam untuk bas, tetapi tidak semua perkara boleh dihukum dengan penggantungan lesen serta-merta,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!