Lelaki ditahan acu parang ke leher pengawal keselamatan

RAUB - Seorang lelaki disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pengawal keselamatan yang bertugas di Kompartmen 214, Hutan Simpan Tras, Raub, telah ditahan polis pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, suspek ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Baru Sungai Lui di sini kira-kira jam 11.15 malam pada hari yang sama.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi tangkapan, polis menemui sebuah motosikal jenis Honda EX-5 yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
"Turut ditemui sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Kedua-dua kenderaan itu telah dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.
Mengulas lanjut mengenai kejadian, Mohd Shahril berkata, mangsa berusia 29 tahun membuat laporan polis kira-kira jam 1.20 tengah hari Rabu, mendakwa diugut oleh lima lelaki tidak dikenali ketika sedang bertugas di pos pengawal Kompartmen 214, Hutan Simpan Tras.
"Mangsa mendakwa lima lelaki menaiki motosikal telah mendesak supaya palang jalan keluar dibuka.
"Mangsa yang tidak mempunyai kunci palang telah dimarahi sebelum salah seorang lelaki tersebut bertindak agresif dengan mengetuk kunci palang menggunakan cota besi serta mengacukan parang ke lehernya," jelasnya.
Bagaimanapun, menurut beliau, rakan suspek telah meleraikan keadaan sebelum mereka semua beredar dari lokasi kejadian.
"Susulan laporan diterima, pihak polis berjaya mengesan suspek utama dan menahannya pada malam yang sama.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut juga dijalankan terhadap suspek berkaitan penggunaan nombor pendaftaran kenderaan palsu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

