Dara Kiosk mahu jadi medium bantu usahawan muda

Ramlee (tiga dari kiri) melihat peniaga burger di Dara Kiosk di Tanjung Chat di sini.
Ramlee (tiga dari kiri) melihat peniaga burger di Dara Kiosk di Tanjung Chat di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Dara Kiosk Sdn Bhd diharap berupaya menjadi medium terbaik kepada golongan kurang berkemampuan untuk berniaga dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ramlee Alang Ismail berkata, perniagaan burger melalui cawangan ini juga membantu usahawan muda melangkah jauh dengan mengetengahkan konsep burger bakar tepi jalan.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan kiosk termasuk kelengkapan memasak bagi membantu anak muda yang tidak mempunyai modal mencukupi untuk membuka perniagaan.

"Mereka hanya perlu sediakan seorang tukang masak dan pembantu bagi menguruskan perniagaan tersebut, kiosk kita sediakan, daging pun kita sediakan sebab kita menggunakan sepenuhnya daging dari syarikat kami.

"Daging kita adalah daging dari Dara Beef iaitu daging premium dan kita juga sediakan daging wagyu yang mana kini menjadi pilihan ramai.

"Jadi saya yakin usahawan ini boleh pergi jauh dengan konsep yang kita bawa ini," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Pihaknya turut menyasarkan 100 pembukaan kiosk Dara Burger tahun ini dan Kelantan merupakan negeri kedua selepas pembukaan enam kiosk di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, selain kiosk, Dara Burger turut menyediakan tukang masak khas kepada usahawan berminat dan telah berdaftar dengan pihaknya untuk mengajar terutama cara memasak daging wagyu dengan betul.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun mereka berniaga di kawasan kampung tapi kami mahu standard makanan ini dikekalkan sebagaimana kita makan di restoran-restoran mahal mahupun hotel.

"Kita bawakan makanan ini ke jalanan supaya semua dapat rasa," katanya.