Yayasan JCorp terus lindungi rumput laut

MERSING — Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) meneruskan komitmennya dalam memelihara ekosistem marin negeri Johor melalui penganjuran Program Eksplorasi Rumput Laut yang berlangsung di perairan Mersing pada awal bulan ini.
Program selama dua hari yang bermula pada 1 Julai itu merupakan kesinambungan kepada projek rehabilitasi terumbu karang yang telah dimulakan oleh Yayasan JCorp sejak tahun 2023, dan kini memberi tumpuan khusus kepada pemeliharaan kawasan rumput laut.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Zaidatul Zurita Abdul Rahman berkata, kawasan rumput laut bukan sahaja menjadi tempat pembiakan pelbagai spesies hidupan marin, malah membantu melindungi garis pantai daripada hakisan serta menyerap karbon, sekali gus menyumbang kepada kestabilan iklim global.

Menurutnya, program seperti ini penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai hubungan saling bergantung dalam ekosistem laut yang sering kurang difahami.
“Ramai yang tidak mengetahui bahawa rumput laut ialah habitat penting bagi pelbagai spesies dan menjadi benteng semula jadi yang melindungi garis pantai. Selain nilai ekologinya, ia juga menyokong sumber pendapatan komuniti pesisir,” jelasnya.
Program tersebut menghimpunkan lebih 50 peserta termasuk wakil Pejabat Daerah Mersing, sukarelawan daripada JCorp dan syarikat dalam kumpulannya, penyelidik dari Universiti Malaya, NGO serta pengusaha pelancongan tempatan.
Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah taklimat mengenai kepentingan alam sekitar, lawatan lapangan dan sesi bersama komuniti setempat, yang memberi peluang kepada peserta menyelami keunikan habitat rumput laut di Pulau Setindan, salah satu kawasan marin paling kaya dan terpelihara di Johor.
Yayasan JCorp turut memaklumkan bahawa sejak projek rehabilitasi terumbu karang dilaksanakan dua tahun lalu, struktur karang yang ditanam telah menunjukkan pertumbuhan kira-kira dua sentimeter dan kini menjadi habitat kepada lebih 10 spesies ikan.
Menurut Zaidatul Zurita, Yayasan JCorp akan terus bekerjasama dengan Universiti Malaya dan komuniti tempatan untuk memperluas program kesedaran berasaskan marin sebagai komitmen jangka panjang dalam memelihara khazanah pesisir Johor serta memperkasa ekonomi setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

