Pegawai biologi marin rugi RM500,000 diperdaya sindiket menyamar polis

Suspek menghubungi mangsa selama dua hari berturut-turut kononnya bagi menyelesaikan kes jenayah yang tidak wujud.
Suspek menghubungi mangsa selama dua hari berturut-turut kononnya bagi menyelesaikan kes jenayah yang tidak wujud.
A
A
A

IPOH – Seorang pegawai biologi marin kerugian RM500,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 44 tahun itu menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali pada 14 Mei lalu.

Menurut beliau, suspek menghubungi mangsa selama dua hari berturut-turut kononnya bagi menyelesaikan kes jenayah yang tidak wujud.

"Suspek memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan aktiviti pemalsuan wang dan pengubahan wang haram.

"Mangsa dihubungi seorang individu yang mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan ditunjukkan semua dokumen diri sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lagi pegawai penyiasat dari Bukit Aman," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Noor Hisam berkata, akibat mempercayai taktik suspek, mangsa telah membuat pindahan wang melalui dalam talian dan mesin teler automatik (ATM) ke sembilan akaun berlainan.

"Wang tersebut merupakan hasil simpanan dan pinjaman daripada ahli keluarganya.

"Menyedari dirinya ditipu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Rabu," katanya.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!