Tarif: Malaysia masih ada peluang runding dengan AS - PM

SHAH ALAM - Malaysia masih mempunyai peluang untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung pelaksanaan tarif import sebanyak 25 peratus mulai 1 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan hasil pertemuan beliau dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada Khamis.
“Rubio menyatakan bahawa surat (yang diutus oleh) Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump itu hanya makluman secara umum tetapi negara masih mempunyai waktu selama satu bulan untuk berunding.
“Beliau (Rubio) tahu bahawa Malaysia ialah sebuah negara dagang yang utama untuk AS di rantau ini dan mereka sedia memberi pertimbangan serta kemukakan pandangan kita,” katanya.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif import yang dikenakan ke atas beberapa negara, termasuk dalam kalangan negara ASEAN bermula 1 Ogos ini.
Trump menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik ke platform Truth Social pada Selasa memaklumkan bahawa Malaysia dikenakan tarif sebanyak 25 peratus sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam siri tindakan perdagangan terhadap beberapa negara rakan dagang utama Washington.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, AS juga masih mementingkan hubungan dagang dengan Malaysia dan berhasrat mahu meningkatkan kerjasama dengan negara di rantau ASEAN.
"Ia menunjukkan bahawa AS memahami pendirian Malaysia dalam menjalin hubungan baik dan berdagang dengan semua negara.
“Perkara ini penting kerana ramai anggap bahawa kita harus memilih (kerjasama) dengan mana-mana (negara selain AS).
“Tidak, AS adalah rakan dagang yang penting. Hubungan kita dengan China, ASEAN dan negara lain itu kita tingkatkan untuk menjamin kepentingan rakyat serta faedah kepada negara,” ujarnya.
Kata Anwar, selain soal ASEAN, pertemuan itu turut membincangkan soal konflik perang yang berlaku di Gaza.
“Mengenai isu Gaza pula, saya tekankan bahawa segala pembantaian dan kekejaman harus dihentikan.
“Beliau menyatakan bahawa maklumat terakhir ialah usaha keras dan yakin ada gencatan senjata membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza dan Palestin,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

