Henti tuduh pemain warisan tak patriotik

Skuad negara diperkuatkan dengan ramai pemain warisan. Foto MalaysiaT
Skuad negara diperkuatkan dengan ramai pemain warisan. Foto MalaysiaT
A
A
A

KEHADIRAN pemain warisan dalam skuad kebangsaan terus menjadi perdebatan peminat sukan tempatan yang kini menyaksikan revolusi besar menerusi kemasukan pemain-pemain berdarah campuran.

Fenomena ini bukanlah baharu kerana sebelum ini pemain seperti Matthew Davies, Corbin Ong, Dion Cools dan Brendan Gan sudah terlebih dahulu menyarung jersi kebangsaan.

Mereka bersama gandingan pemain tempatan berjaya membawa pasukan negara layak ke Piala Asia 2023 selepas 42 tahun.

Kini gelombang baharu menyaksikan penyertaan beberapa lagi pemain warisan seperti Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado yang tampil dalam revolusi Harimau Malaya.

Kehadiran mereka nyata memberi impak besar apabila skuad Harimau Malaya berjaya menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam selama 11 tahun dalam aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Malah, kemenangan itu menyaksikan Malaysia juga berpeluang cerah untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2027 sekiranya dapat meneruskan rentak melakar kemenangan ke atas Laos dan Nepal selepas ini selain mengekang Vietnam di laman lawan.

Langkah positif kejayaan bola sepak itu walaupun masih di peringkat awal, ia turut membuka mata sukan lain bagi mencari pemain warisan.

Akuatik Malaysia (MAS) misalnya antara sukan yang sudah menyatakan hasrat merekrut atlet warisan dalam usaha memperkukuh skuad renang kebangsaan.

Bagaimanapun, kehadiran pemain atau atlet warisan mengundang pelbagai kritikan yang sememangnya sudah boleh dijangka.

Artikel Berkaitan:

Ada yang melihatnya sebagai langkah strategik demi melonjakkan prestasi pasukan di pentas antarabangsa. Tapi ada juga yang melihat sebaliknya.

Antara isu yang kerap kali ‘diputarkan’ ialah mengenai tahap patriotisme dengan menuduh mereka dibayar wang ringgit untuk beraksi dan bukan kerana jiwa serta semangat cintakan tanah air.

Meskipun ada pemain yang mungkin tidak mengenali Malaysia secara mendalam sebelum mengetahui mereka mempunyai darah warisan, itu bukanlah ukuran mutlak kepada komitmen mereka terhadap negara.

Lihat sahaja semangat yang ditunjukkan oleh barisan pemain warisan ketika mewakili Harimau Malaya menentang Vietnam baru-baru ini.

Aksi penuh semangat dan cara meraikan jaringan menunjukkan bahawa mereka bermain sepenuh hati. Bahkan, ada dalam kalangan mereka sanggup terbang ribuan kilometer dari Eropah untuk bersama skuad negara.

Mereka juga tidak gentar mewakili negara yang berada pada kedudukan lebih rendah dalam ranking bola sepak dunia. Sudah tentu ia satu pengorbanan besar dan penuh risiko dalam kerjaya profesional mereka.

Sudah tentu ada ruang untuk menutup naratif segelintir pihak mengatakan bahawa pemain tidak memiliki tahap patriotisme, sekali gus memastikan mereka tidak lagi menjadi sasaran kritikan.

Langkah pertama rasa sayang kepada Malaysia ketika beraksi sudah mereka tunjukkan dan ia perlu terus disemai.

Dalam konteks ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) wajar mengambil peranan lebih proaktif dalam menanam nilai kecintaan terhadap negara dalam kalangan pemain warisan.

Sekurang-kurangnya, pemain warisan harus diajar dan dibimbing untuk memahami serta menghayati lagu Negaraku dan mampu menyanyikannya dalam perlawanan akan datang.

Justeru, peminat sukan negara perlu memberikan ruang dan berlaku adil terhadap pemain warisan yang hadir menyarung jersi negara.

Menilai tahap patriotisme seseorang berdasarkan warna kulit atau tempat lahir bukanlah satu pendekatan yang wajar kerana apa yang lebih utama ialah semangat, dedikasi dan usaha yang ditunjukkan.

Selagi pemain warisan menunjukkan kesungguhan membela nama Malaysia, mereka wajar diraikan sebagai wira sama seperti mana-mana anak tempatan lain.

Mereka datang dari pelbagai latar belakang tetapi misi mereka tetap satu iaitu membawa Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi.

*Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sukan Sinar

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!