Figueiredo sertai JDT

Figueiredo FOTO: FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Figueiredo FOTO: FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
A
A
A

PEMAIN warisan Harimau Malaya, Joao Figueiredo kini sah menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi saingan domestik dan Asia musim ini.

Perkara itu diumumkan secara rasmi menerusi satu video yang dimuat naik di laman media sosial rasmi Harimau Selatan yang menyaksikan Figueiredo memperagakan jersi bernombor 25 bersama juara Liga Super itu.

“Joao Figueiredo membawa semangat juang dan komitmen tinggi ke Johor Darul Ta’zim FC,” menurut kenyataan kelab berkenaan.

Kehadiran Figueiredo dijangka memperkukuh lagi jentera serangan JDT yang sememangnya terkenal dengan barisan pemain berprofil tinggi, sama ada tempatan mahupun import.

Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini beraksi bersama kelab Istanbul Basaksehir di Turkiye dan dilaporkan masih mempunyai kontrak sehingga Jun 2026 berdasarkan maklumat daripada laman Transfermarkt.

Sepanjang kariernya di kelab berkenaan bermula pada tahun 2023, Figueiredo menjadi antara watak penting dalam skuad utama apabila berjaya menjaringkan 24 gol serta mencipta empat bantuan jaringan dalam 102 penampilan.

Figueiredo turut mencuri perhatian dalam kempen antarabangsa pertamanya bersama skuad Harimau Malaya apabila meledak satu gol ketika perlawanan menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia yang menyaksikan skuad negara meraih kemenangan bergaya 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Pemain berdarah kacukan Brazil-Malaysia itu menjadi pemain warisan ketiga yang direkrut JDT dalam jendela perpindahan kali ini selepas dua lagi pemain warisan, Hector Hevel dan Jon Irazabal turut dibawa masuk.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!