Bekas Ketua Dasar Luar EU kecam Netanyahu calonkan Trump untuk Hadiah Nobel Keamanan

BRUSSELS (Belgium) - Bekas diplomat tertinggi Eropah pada Rabu mengecam tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mencalonkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk Hadiah Nobel Keamanan, dengan menyifatkannya sebagai tindakan oleh "tertuduh penjenayah perang” terhadap "pembekal senjata terbesar” beliau.
"Seorang tertuduh penjenayah perang yang dikehendaki keadilan antarabangsa mencalonkan pembekal senjata terbesarnya untuk Hadiah Nobel Keamanan, dan bersama-sama melakukan pembersihan etnik terbesar di rantau itu sejak tamat Perang Dunia Kedua,” tulis bekas Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell, di X, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kenyataan Borrell itu dibuat sejurus selepas Netanyahu menyerahkan surat pencalonan rasmi kepada Trump semasa lawatannya ke AS pada Selasa, yang merupakan lawatan ketiganya ke negara itu dalam tempoh enam bulan.
Borrell, yang menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai diplomat tertinggi EU tahun lepas, sebelum ini merupakan pengkritik lantang terhadap serangan Israel dan pernah menggesa semakan semula Perjanjian Persatuan EU-Israel. - Bernama/Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
