Covid-19: Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia ditangguh

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2020 yang dijadual berlangsung pada 31 Mac hingga 5 April di Axiata Arena, Bukit Jalil ditangguhkan berikutan penularan koronavirus (Covid-19).

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, keputusan itu dibuat selepas berunding dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan selaras dengan keputusan kerajaan Malaysia untuk menggantung semua acara sukan berikutan sekatan yang dilaksanakan sebagai langkah untuk memerangi wabak Covid-19 sehingga akhir April 2020.

“Bagi pembeli tiket untuk acara ini, bayaran balik akan bermula pada Isnin (16 Mac) dan akan diproses kepada semua dalam tempoh lapan hari bekerja.

“Situasi itu yang sentiasa dipantau berterusan, BAM akan terus mengawasi semua nasihat kerajaan dengan keutamaan menjaga keselamatan dan kesihatan semua,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BWF juga turut mengeluarkan kenyataan untuk menangguhkan semua kejohanan Jelajah Dunia BWF dan saingan BWF yang lain dari 16 Mac hingga 12 April kerana peningkatan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Kejohanan yang terjejas termasuk Terbuka Switzerland 2020, Terbuka India 2020, Masters Orleans, Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura serta beberapa lagi kejohanan antarabangsa Gred 3.

Penangguhan itu bermula sebaik berakhirnya Kejohanan Badminton Terbuka All England 2020 di Birmigham, England pada Ahad.

Beberapa kejohanan turut terkesan susulan penangguhan yang diadakan dalam tempoh kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, BWF akan membuat pengumuman lanjut mengenai peraturan berkaitan mata kelayakan ke temasya Sukan Olimpik pada masa yang akan dimaklumkan kemudian. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Semua program KBS ditangguh sehingga 30 April

Sukan Para Asean 2020 ditangguh ke Mac