Jin Wei tangisi kegagalan di Axiata Arena

Reaksi Jin Wei ketika menentang Yvonne pada pusingan pertama Malaysia Masters 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil sebentar tadi. - Foto Bernama
Reaksi Jin Wei ketika menentang Yvonne pada pusingan pertama Malaysia Masters 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil sebentar tadi. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas tersingkir seawal pusingan pertama Malaysia Masters 2023.

Dalam aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, Jin Wei gagal menjelmakan kegembiraan di hadapan penyokong sendiri apabila tewas 17-21, 21-17, 15-21 kepada Yvonne Li dari Jerman.

"Saya kecewa kecewa dengan diri sendiri, saya tidak menjaga kondisi badan dengan baik. Sepatutnya saya lebih bersedia dan cergas beraksi minggu ini.

"Saya perlu melakukan fisioterapi di luar (swasta) setiap hari tetapi saya tidak mempunyai servis sokongan. Bagi seorang pemain elit, kami perlu pergi ke fisioterapi setiap minggu.

"Saya berharap dapat disenaraikan dalam projek Road to Gold (RTG). Walaupun ada kriteria (yang ditetapkan) saya harap dapat disenaraikan.

"Jadi boleh menggunakan fasiliti mereka. Ia sudah pasti akan membantu meningkatkan prestasi saya," katanya yang mengalirkan air mata ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Jin Wei berkata, dia berkemungkinan tidak beraksi pada Terbuka Thailand minggu depan atas alasan masalah keletihan

"Apapun saya tidak akan hanya duduk berdiam diri, saya harus kembali bangkit dan menunjukkan sesuatu kepada peminat," jelas juara dunia remaja dua kali itu.