Peruntukan Kolej New Era: Pas bidas Guan Eng masih ‘membisu’

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas membidas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang masih mendiamkan diri selepas gambar penyampaian peruntukan kepada Kolej Universiti New Era tular di media sosial minggu lepas.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan turut mendesak Kementerian Kewangan memberikan penjelasan untuk menjustifikasikan pemberian peruntukan tersebut.

Menurutnya, ia susulah penjelasan dari Kementerian Pendidikan mendakwa peruntukan tersebut adalah peruntukan khas dari Kementerian Kewangan, bukan dari Kementerian Pendidikan.

“Berdasarkan peruntukan Belanjawan 2019, Sekolah Menengah Persendirian Cina diberikan peruntukan sebanyak RM12 juta. Namun, bagaimana pula dengan Kolej Universiti New Era?

“Berdasarkan penjelasan dari Timbalan Menteri Pendidikan, peruntukan tersebut adalah peruntukan khas dari Menteri Kewangan (Bukan dari Kementerian Pendidikan).

[ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa kolej swasta dapat peruntukan walau tiada dalam Bajet 2019]

“Soalnya, mengapa ia diberikan dan dari mana peruntukan tersebut?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin turut berkongsi maklumat mendakwa Kolej Universiti New Era ditubuhkan oleh Dong JIao Zong yang agresif mendesak kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) meskipun ditolak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Kementerian Pendidikan menegaskan peruntukan khas yang diberikan kepada Kolej Universiti New Era bukan daripada peruntukan kewangan kementerian itu sebaliknya dari Kementerian Kewangan sendiri.

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Peruntukan Kolej New Era, ini penjelasan kementerian]

Menurut kementerian itu lagi, kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ke majlis tersebut adalah hanya bagi memenuhi jemputan Kementerian Kewangan.

“Selaku institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan, peruntukan yang diberikan adalah peruntukan khas Kementerian Kewangan yang diberi secara terus oleh kementerian kepada kolej itu.

“Ia tidak melalui Kementerian Pendidikan. Kerajaan BN juga pernah memberi peruntukan kepada Kolej Universiti Abdul Rahman yang bukan Universiti Awam, antara RM30 juta hingga RM69.25 juta dalam Bajet 2012 hingga 2018.

“KPM berharap agar budaya memainkan sentimen perkauman dan memanipulasi fakta hendaklah dielakkan bagi memelihara perpaduan negara,” memetik kenyataan dari kementerian.