Bella Astillah terharu jadi sebahagian konsert holografik Glenn Fredly

Konsert ini memberi ruang kepada peminat di Malaysia mengubat rindu terhadap figura muzik legenda dari Indonesia itu.
Konsert ini memberi ruang kepada peminat di Malaysia mengubat rindu terhadap figura muzik legenda dari Indonesia itu.
A
A
A

PENYANYI Bella Astillah menyifatkan peluang menyertai barisan artis konsert Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia sebagai satu penghormatan besar buat dirinya.

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 18 Julai ini di Zepp Kuala Lumpur bukan sahaja bakal menampilkan teknologi persembahan terkini, malah memberi ruang kepada peminat di Malaysia mengubat rindu terhadap figura muzik legenda dari Indonesia itu.

Mengulas penglibatannya, Bella yang mengakui sebagai peminat tegar mendiang Glenn Fredly sejak kecil berkata, karya penyanyi itu sentiasa dekat di hatinya dan menjadi inspirasi buat dirinya sebagai anak seni.

“Mendiang Glenn Fredly merupakan antara penyanyi kegemaran saya sejak dahulu. Sejak kecil lagi saya memang sudah mengenali sebahagian besar daripada karyanya memandangkan muzik yang dipertaruhkan juga berbeza daripada yang lain.

“Rangkaian lagu-lagu seperti Kasih Putih, Januari dan Akhir Cerita Cinta begitu diminati. Saya pasti sebahagian besar daripada kita pun memang menjadikan muzik Glenn sebagai rujukan dan menjadi kegemaran ramai,” katanya.

Menurut Bella lagi, pemergian Glenn merupakan satu kehilangan besar buat industri muzik Nusantara, namun kehadiran konsert ini mampu menjadi ruang untuk menghidupkan kembali semangat dan legasi seninya.

“Ini adalah satu penghormatan besar buat saya apabila dijemput bersama-sama dalam konsert kali ini. Saya pasti teknologi yang bakal dipertaruhkan berbeza dan menjadikan konsert ini begitu istimewa.

“Pun begitu masih terlalu awal untuk saya mendedahkan apakah bentuk persembahan itu nanti kerana saya mahu mengajak semua peminat untuk sama-sama hadir dan menyaksikan sendiri persembahan kami nanti,” tambahnya.

Konsert yang berdurasi dua jam setengah ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya sebuah perayaan seni yang menyatukan kenangan, cinta dan penghargaan terhadap Glenn yang pernah menggenggam hati jutaan peminat serantau.

Artikel Berkaitan:

Selain Bella, antara barisan artis yang turut serta termasuklah The Bakuucakar, Noh Salleh, Mutia Ayu, Rian Ekky Pradipta, Nadira Adnan, Gretchene Quirina, Matthew Sayersz dan Allan Anderson.

Untuk rekod, Kuala Lumpur menjadi lokasi kedua selepas Jakarta yang menyaksikan sambutan luar biasa sewaktu konsert sama diadakan di Beach City International Stadium, dua tahun lalu.

Uniknya, teknologi hologram yang akan digunakan membuktikan bahawa kehilangan fizikal tidak mampu memadamkan semangat dan cinta yang masih membara terhadap karya-karya Glenn.

Konsert ini dibawakan oleh Premier Live Productions dengan kerjasama Matahati Sdn Bhd, menampilkan bukan sahaja teknologi canggih tetapi juga barisan artis yang pernah berkongsi kasih dan karya bersama Glenn semasa hayatnya.

Bukan sekadar hiburan, konsert ini menjadi penanda aras sejarah baharu dalam dunia persembahan muzik Asia Tenggara membuktikan bahawa teknologi mampu menjadi jambatan antara masa lalu dan masa kini.

Bagi yang berminat, penganjur turut menyediakan promosi istimewa seperti pembelian tiket couple pada harga RM266, manakala pembelian tiket individu boleh menikmati potongan 30 peratus dengan kod promosi GlennXBella, GlennXAllan atau GlennXNoh.

Tiket boleh didapati melalui laman web www.ticket2u.com/GlennHologram. Untuk info terkini, ikuti saluran rasmi di @premierlivepro, @bumientertainment, @musikbagusrecords, @glennfredlymusik, @matahatilive dan @blacksky.asia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!