Selangor peruntuk lebih RM14 juta bantu komuniti India 2025

Persidangan DUN Selangor Ke-15 berlangsung di Wisma Dewan Negeri pada Rabu.
Persidangan DUN Selangor Ke-15 berlangsung di Wisma Dewan Negeri pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperuntukkan lebih RM14 juta pada tahun 2025 bagi melaksanakan pelbagai program dan inisiatif khusus untuk manfaat masyarakat India di negeri ini.

Perkara itu dimaklumkan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu Veraman ketika menjawab pertanyaan Muhammad Izuan Ahmad Kasim (PH–Kota Damansara) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Wisma Dewan Negeri, di sini, pada Rabu.

Menurut Papparaidu, kerajaan negeri amat prihatin dan cakna terhadap kebajikan serta kesejahteraan semua rakyat, termasuk komuniti India. Justeru, pelbagai program dirancang dengan peruntukan tinggi setiap tahun.

Antara program yang dilaksanakan termasuk Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED) dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membantu usahawan mikro dan kecil kaum India menjalankan perniagaan melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin.

Jelasnya, program itu dijangka memberi manfaat kepada 100 usahawan India yang berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan seperti penjaja makanan di tepi jalan, pengusaha maruku, tukang jahit dan mekanik.

"Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.2 juta di bawah Program Bantuan Yuran Pengajian Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta bagi membantu pelajar komuniti India B40 membayar yuran pengajian peringkat diploma dan ijazah. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada 486 pelajar bermula pertengahan Julai 2025," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM950,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Bantuan Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah, dalam usaha mengurangkan beban ibu bapa komuniti India B40 menampung kos pengangkutan anak-anak ke sekolah.

Selain itu, bantuan sebanyak RM300 secara one-off diberikan setiap tahun kepada murid berketurunan India daripada keluarga B40 yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di seluruh negeri Selangor. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 3,166 murid.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan hampir RM800,000 bagi program sambutan perayaan kaum India seperti Deepavali, Thaipusam, Ponggal, Vaisakhi dan Ugadi.

Artikel Berkaitan:

Program ini bukan sahaja mengiktiraf kepelbagaian budaya dan agama, tetapi juga diharap dapat memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan nilai murni dalam kalangan rakyat Selangor, khususnya komuniti India.

"Melalui Program Pemberian Bantuan Baucar Jom Shopping Bersempena Perayaan, peruntukan sebanyak RM4.43 juta diagihkan sempena Deepavali tahun ini yang dijangka memberi manfaat kepada 22,150 penerima komuniti India dalam kalangan B40," tambahnya.

Papparaidu turut memaklumkan bahawa sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di bawah Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor bagi kerja-kerja baik pulih dan naik taraf infrastruktur sekolah, agar persekitaran pengajaran dan pembelajaran lebih selamat dan kondusif.

Selain itu, RM1 juta disediakan melalui Program Bantuan Kewangan LIMAS untuk persatuan dan pertubuhan yang menguruskan kuil, bagi pembinaan, penyelenggaraan dan penaiktarafan infrastruktur rumah ibadat, pembelian peralatan serta perbelanjaan aktiviti keagamaan.

Papparaidu turut menambah bahawa pelbagai lagi program di bawah Iltizam Selangor Penyayang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk komuniti India.

Antara inisiatif tersebut ialah Pusat Tuisyen Rakyat Selangor, Peduli Siswa, Iltizam Mahasiswa Selangor, Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor, Skim Hijrah Selangor serta Geran dan Dana Usahawan Madani Selangor.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus menyediakan peruntukan tinggi bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat di Selangor sentiasa terpelihara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!