[VIDEO] Pembantu pengarah didakwa tipu urusan sarung tangan bernilai RM5.1 juta
KUALA LUMPUR – Seorang pembantu pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan menipu urusan pembekalan sarung tangan mencecah RM5.1 juta, lima tahun lalu.
P Dinesh, 36, yang juga bekerja di sebuah restoran, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama pengarah syarikat Aspen Broadway Sdn Bhd yang sebelum ini telah dituduh di mahkamah, didakwa menipu seorang wanita supaya mempercayai bahawa 150,000 kotak sarung tangan jenis ‘Coats Nitrile Examination’ berjenama Hartalega telah sedia ada di sebuah gudang.

Sarung tangan itu kononnya akan dijual dan diserahkan oleh Aspen Broadway kepada sebuah syarikat mangsa, sedangkan stok sarung tangan tersebut sebenarnya tidak wujud.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM5.1 juta menerusi sebuah firma guaman ke akaun bank milik sebuah firma guaman lain yang dilantik Aspen Broadway.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Tun Ismail, di sini, pada 9 November 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Chow Siang Kong mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin.
“Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis terdekat sekali setiap sebulan,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Mohd Akmal Mohd Taufik mewakili tertuduh memohon anak guamnya diberi jaminan pada kadar rendah kerana Dinesh perlu menanggung isteri dan seorang anak yang masih bersekolah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes, pada 28 Julai ini.
Pada 10 Februari lalu, pengarah syarikat Aspen Broadway Sdn Bhd, R Gopinatan Pillai didakwa atas satu pertuduhan menipu dan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan transaksi jual beli sarung tangan sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

