Gerakan gesa kerajaan periksa semua rangkaian paip gas asli negara

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa segera menjalankan pemeriksaan dan siasatan risiko keselamatan terhadap semua rangkaian paip gas asli milik Petronas di seluruh negara bagi mengelakkan insiden letupan seperti yang berlaku di Putra Heights, Selangor daripada berulang.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, insiden letupan itu perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak, khususnya dalam memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan.
“Walaupun saya masih sangsi dan sukar menerima laporan siasatan insiden tersebut, namun memandangkan pihak berkuasa mengaitkan punca kejadian dengan penurunan tanah, adakah kerajaan tidak sepatutnya segera menjalankan siasatan berkaitan paip gas asli di seluruh Semenanjung?
"Ini untuk mengenal pasti sama ada paip-paip ini turut mengalami masalah penurunan tanah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau turut menggesa Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) agar lebih proaktif dan tidak hanya bertindak selepas sesuatu kejadian berlaku.
Katanya, pengurusan bencana perlu merangkumi aspek perancangan, pelaksanaan pelan, amaran awal, tindak balas kecemasan dan bantuan.
“Memandangkan kejadian berlaku akibat kegagalan mengesan penurunan tanah, adakah agensi berkaitan tidak boleh mencari penyelesaian dan kaedah pengesanan awal? Adakah benar-benar tiada cara untuk mengesan masalah ini sebelum kejadian berlaku?” soalnya.
Menurutnya, pemeriksaan berkala terhadap paip gas asli adalah penting untuk mengurangkan risiko dan impak bencana, namun insiden di Putra Heights wajar dijadikan pengajaran bersama.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mewajibkan jurutera geoteknik untuk menetapkan kekerapan pemeriksaan yang lebih singkat terhadap saluran paip gas asli.
Mengulas lanjut, beliau berkata, laluan utama saluran paip gas asli di Semenanjung Malaysia bermula dari Kerteh, Terengganu, melalui Kuantan, Pahang dan berakhir di Segamat, Johor.
“Di sana, saluran paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) terbahagi kepada dua, satu menuju ke selatan Semenanjung (Pasir Gudang, Johor), manakala satu lagi ke utara, dari Kapar, Selangor hingga ke Kedah,” jelasnya.
Walaupun paip-paip ini diaudit setiap tahun oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), ujarnya, insiden di Putra Heights membuktikan bahawa audit tahunan masih belum mampu menangani risiko keselamatan tersembunyi yang tidak dapat dilihat secara fizikal.
“Isu ini berkaitan keselamatan nyawa dan tidak boleh dipandang ringan,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

