Isu minyak dan gas Sabah: 'Buat kerja diam-diam ada hasil' - Masidi

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan bahawa kerajaan negeri memilih untuk bekerja secara senyap melibatkan minyak dan gas yang akhirnya membuahkan hasil.

Tegas beliau, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak meminggirkan Sabah dalam aspek agihan manfaat, malah segala kerjasama dibuat melalui perjanjian komersial yang membolehkan kerajaan negeri terlibat secara langsung dalam menentukan hala tuju sektor minyak dan gas di negeri ini.

Katanya, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi memantau dan memperhalusi tahap penglibatan Sabah dalam industri berkenaan.

"Saya fikir tidak ada apa yang diberikan Petronas kepada Sarawak, tidak diberikan kepada Sabah setakat ini.

"Dasar kita sangat senang, terbit dari perjanjian kerjasama dengan Petronas, kita ada jawatankuasa untuk menentukan sejauh mana penglibatan kita dalam sektor minyak Sabah.

"Jadi itu kita buat, yang bezanya, kita buat kerja diam-diam ada hasil. Ada orang lain cakap tapi hasil tidak ada," katanya ketika memberi maklum balas terhadap isu yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan–Senallang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Selasa.

Bagaimanapun beliau meminta Mohd Shafie yakin terhadapnya walaupun beliau masih baru dalam industri minyak dan gas tersebut.

"Saya harap Yang Berhormat percayakan saya, kita adalah rakan, walaupun saya bagaru dalam industri ini," katanya.

Sebelum itu, Mohd Shafie mencelah untuk bertanyakan pendirian kerajaan negeri berhubung usaha melindungi hak Sabah dalam sektor hiliran minyak dan gas, memandangkan negeri ini ketika ini hanya mengeluarkan bahan mentah.

Artikel Berkaitan:

"Soalannya, dari segi dasar kita, sama ada kerajaan negeri mempunyai dasar yang jelas mengenai minyak, gas dan sumber yang ada, dan bagaimana kita manfaatkan hilirannya," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!