Jenazah enam sekeluarga selesai bedah siasat, dibawa ke Jerlun untuk kebumi

ALOR SETAR – Jenazah enam sekeluarga yang ditemukan lemas dalam sebuah kereta di Sungai Korok, telah selesai menjalani proses bedah siasat.
Kesemua mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.
Proses bedah siasat ke atas jenazah selesai kira-kira jam 6.30 petang di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Kesemua jenazah kemudian dimandikan dan dikafankan di hospital sebelum dibawa keluar untuk pengebumian sekitar jam 9.25 malam.
Jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, Jerlun menggunakan lima van jenazah yang disediakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa enam sekeluarga itu dikhuatiri hilang selepas pulang dari rumah ahli keluarga mereka di Taman Aman, Jitra, sejak Sabtu lalu.
Misteri kehilangan mereka terjawab apabila bumbung kereta kelihatan terapung di Sungai Korok pada Isnin, sebelum pasukan penyelamat menemui mayat kesemua mangsa di dalam kereta jenis Proton Iswara yang tenggelam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

