Selepas Jebat pergi, enam beranak pula menyusul

JITRA - Tragedi yang meragut nyawa enam sekeluarga di Sungai Korok di sini menjadi lebih menyayat hati apabila pasangan suami isteri yang maut bersama empat anak mereka baru sahaja kehilangan seorang bayi lelaki yang merupakan kembar kepada anak bongsu mereka, Tuah Haydar.
Menurut Nur Shafika Izani Ishak, adik kepada Allahyarham Mohamad Azim Izat Ishak, 32, bayi lelaki pasangan itu, Jebat Haydar, meninggal dunia pada Februari lalu akibat masalah kesihatan.
"Kami mungkin akan mencadangkan agar jenazah abang dan isterinya serta empat anak dikebumikan dekat kubur Jebat Haydar iaitu di Jerlun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Isnin.
Katanya, dia yang bekerja di Pulau Pinang terus bergegas pulang ke Jerlun selepas dimaklumkan tentang kehilangan abang sekeluarga.
“Saya bersama keluarga memang cari merata tempat termasuk kawasan ini tetapi tidak nampak ada yang mencurigakan.
“Semalam paras air tinggi dan hari ini air surut, sebab itu nampak sedikit bahagian kereta Proton Saga Iswara abang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

