Dua pelanggan bertuah Kempen MyDebit Syiokkk Raya bawa pulang Proton S70 Premium

LOTUSS Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengumumkan dua pemenang utama Kempen MyDebit Syiokkk Raya yang membawa pulang Proton S70 Premium baharu.
Dua pemenang iaitu Maizatul Akma Mazlan dan Kwong Joon @ Kong Joon, ialah ahli setia My Lotus’s telah membuat jumlah pembelian sebanyak 324 kali sepanjang tempoh dua bulan kempen tersebut berlangsung dari 13 Februari hingga 30 April 2025.
Pengarah Eksekutif Pelanggan dan Pemasaran Lotus’s Malaysia, Nuathip Pituckpongsatorn berkata, peraduan tersebut bertujuan untuk menghargai pelanggan sambil menggalakkan penggunaan pembayaran digital selamat dan lancar semasa musim perayaan yang sibuk.
Menurutnya, peningkatan penggunaan pembayaran digital selaras dengan usaha mereka untuk memberikan kemudahan dan nilai kepada pelanggan.
“Kami amat teruja apabila dapat melihat kerjasama melalui peraduan MyDebit Syiokkk Raya ini berjaya membawa keceriaan sempena musim perayaan dan pada masa yang sama meningkatkan penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan pelanggan kami kepada lebih 60 peratus.
“Penggunaan DuitNow QR sejak November 2024 juga telah membantu mengukuhkan sistem pembayaran digital kami dan mempercepatkan proses transformasi digital di semua cawangan.
“Peraduan yang diadakan di seluruh negara telah menerima lebih daripada 26,500 transaksi yang layak, dengan seramai 2,622 pemenang membawa pulang hadiah bernilai lebih RM470,000,” katanya.
Sementara itu, menurut Pengarah Kanan Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor, selain daripada hadiah menarik, peraduan itu turut memberi impak positif dengan memupuk tabiat perbelanjaan selamat, mudah dan tanpa tunai dalam kalangan pengguna, seiring dengan aspirasi pendigitalan negara.
Tambah beliau, kejayaan kempen MyDebit Syiokkk Raya yang dianjurkan bersama Lotus’s sejak Mac 2022 telah menyumbang lebih 30 peratus dalam peningkatan penggunaan pembayaran tanpa tunai,
Jelasnya, kerjasama tersebut menunjukkan perubahan positif ke arah masyarakat tanpa tunai di Malaysia selain membantu membentuk tabiat berbelanja lebih moden dan berterusan dalam kalangan Malaysia.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Lotus’s Malaysia dalam membina sistem pembayaran yang lebih selamat, pantas dan mudah diakses oleh semua.
“PayNet juga telah memperbaharui kerjasama strategik dengan Lotus’s sehingga tahun 2026 bagi terus menjalankan penggunaan pembayaran digital melalui MyDebit dan DuitNow QR, serta menambah lebih banyak saluran pembayaran digital dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Di PayNet, kami berusaha untuk terus membawa inovasi, membina kepercayaan dan memastikan setiap transaksi mudah diakses agar semua rakyat Malaysia dapat menikmati faedah ekonomi digital yang lebih inklusif,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
