Awas! Ada pencuri dalam kabin pesawat

KECURIAN dalam kabin pesawat bukan isu baharu, namun insiden ini semakin menjadi perhatian susulan beberapa laporan melibatkan kehilangan wang tunai, barangan berharga dan dokumen penting sepanjang tempoh penerbangan.
Dalam ruang terhad pesawat, penumpang sering leka atau terlalu mempercayai keselamatan kabin sehingga tidak menyedari mereka menjadi mangsa jenayah.
Baru-baru ini, media melaporkan insiden membabitkan seorang penumpang warga asing yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas disyaki mencuri wang tunai lebih RM5,000 daripada beg penumpang lain ketika dalam penerbangan dari Hong Kong ke Malaysia. Rakaman kamera litar tertutup serta maklumat daripada kru kabin membantu dalam pengesanan dan penahanan suspek.
Bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam satu laporan portal berita pada 17 Disember tahun lalu memaklumkan, sebanyak 267 kes kecurian dalam pesawat dilaporkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sejak tahun 2022.
Katanya, kes kecurian barangan semasa penerbangan mencatatkan peningkatan dengan 33 kes pada 2022, 88 kes tahun 2023 dan 146 kes sehingga Oktober 2024.
Ujarnya, untuk tempoh sama, seramai 30 warga asing ditahan selepas didapati terbabit dalam kes kecurian yang disyaki berlaku semasa penerbangan antara negara ASEAN mahupun penerbangan domestik di Malaysia.
Tambahnya, berdasarkan siasatan, suspek yang terbabit dalam kes ini bergerak secara berseorangan atau berkumpulan antara dua hingga empat orang.
Memetik laporan Berita Harian Singapura, Hong Kong antara yang paling teruk terjejas dengan 169 kes kecurian dalam penerbangan melibatkan barangan berharga bernilai HK$4.32 juta (RM2.33 juta) sepanjang 10 bulan pertama 2024 — meningkat 75 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang mewakili kira-kira 300 syarikat penerbangan turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes kecurian dalam pesawat sepanjang tempoh 12 hingga 18 bulan lalu.
Dalam mesyuarat agungnya di India, IATA menyatakan bahawa banyak kes kecurian dipercayai berpunca dari China. Semakan oleh The Straits Times Singapura mendapati empat daripada lima orang yang didakwa atas kes kecurian dalam kabin pada tahun 2025 adalah dari warganegara tersebut.
Keselamatan
Pada pandangan penulis, aspek keselamatan kabin perlu diberi perhatian serius bukan sahaja oleh pihak syarikat penerbangan, tetapi juga oleh penumpang sendiri. Walaupun pesawat dianggap ruang terkawal, ia tetap terdedah kepada jenayah jika penumpang lalai.
Kajian kes oleh IATA pada 2019 menunjukkan bahawa kebanyakan kes kecurian berlaku ketika lampu kabin diredupkan atau ketika penumpang sedang tidur. Suspek lazimnya menyasarkan beg sandang atau beg galas di ruang penyimpanan atas yang kelihatan mahal atau terdedah. Malah, terdapat laporan menunjukkan pencuri berpura-pura mencari tempat duduk atau barang sendiri sebelum memeriksa dan menyelongkar beg orang lain secara senyap.
Pihak syarikat penerbangan wajar mengambil inisiatif tambahan seperti menempatkan kamera kecil di kabin, menambah bilangan rondaan oleh kru semasa penerbangan, dan memberi peringatan keselamatan kepada penumpang sebelum berlepas.
Penumpang pula perlu meletakkan barangan berharga di dalam beg kecil yang boleh disimpan di bawah tempat duduk dan bukan di ruang atas yang lebih terdedah.
Pihak berkuasa juga boleh mempertimbangkan mekanisme laporan kecurian yang lebih efisien dalam pesawat, seperti penggunaan borang digital atau pengesanan kod tempat duduk untuk memudahkan siasatan.
Kecurian dalam kabin bukan hanya soal kehilangan harta benda, tetapi isu kepercayaan dan keselamatan yang perlu ditangani secara holistik.
*Puperahaizad Darsono ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
