MP hadiah lembu, wang tunai buat wanita hamil anak ketiga

VIZIANAGARAM - Seorang ahli Parlimen di Andhra Pradesh, India, menawarkan insentif wang tunai kepada wanita yang melahirkan anak ketiga, termasuk seekor lembu sebagai usaha menggalakkan pertumbuhan populasi di negeri itu.
Ahli Parlimen Lok Sabha, Kalisetti Appala Naidu mengumumkan pemberian sebanyak Rs 50,000 (RM2,535) bagi anak perempuan yang dilahirkan manakala seekor lembu sebagai hadiah untuk kelahiran anak lelaki.
Pengumuman tersebut dibuat Kalisetti Appala ketika sambutan Hari Wanita di Kompleks Sukan Rajiv, Vizianagaram.
Kenyataan tersebut menjadi bualan di media sosial, dengan pemimpin dan penyokong Telugu Desam Party (TDP) turut berkongsi berita berkenaan.
Inaentif itu sejajar dengan gesaan Ketua Menteri Andhra Pradesh, Chandrababu Naidu, yang baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai kadar kelahiran yang semakin menurun di selatan India.
Beliau berpendapat, populasi yang semakin menua boleh membawa cabaran besar kepada negeri itu, berbeza dengan negeri seperti Uttar Pradesh dan Bihar yang mempunyai ramai penduduk lebih muda.
Chandrababu menekankan pentingnya pengurusan demografi jangka panjang dan bukannya kawalan populasi.
"Dahulu saya menyokong perancangan keluarga, tetapi kini saya ubah pendirian dan menyokong peningkatan populasi.
"India merupakan negara dengan kelebihan terbesar dalam dividen demografi dan sekiranya kita dapat menguruskannya untuk masa depan, negara serta rakyat India akan menjadi hebat," kata Naidu.
Selain itu, beliau turut mengumumkan cuti bersalin akan diberikan kepada semua pekerja wanita tanpa mengira bilangan anak. - AGENSI
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
