Wanita diusir ibu mentua hanya kerana pulang jumpa keluarga

SULAWESI SELATAN – Sebuah video tular memaparkan seorang wanita diusir oleh keluarga mentuanya selepas pulang melawat keluarganya sendiri di kampung.
Video itu dimuat naik oleh pengguna Facebook bernama Badar Algazali, yang mendakwa kejadian berlaku di Desa Padang Loang, Kecamatan Ujung Loe, Kabupaten Bulukumba.
Menurut Badar, wanita tersebut pada awalnya berada di rumah keluarganya sebelum dipanggil pulang oleh ibu mentuanya. Namun, sebaik tiba di rumah, dia terkejut melihat bungkusan besar berisi pakaiannya diletakkan di hadapan pintu sebagai isyarat dia telah diusir.
“Pintu bilik telah dikunci. Dia tidak dibenarkan melangkah masuk ke rumah, malah dikatakan haram untuk kembali. Dia diusir tanpa diberi sebarang wang,” tulis Badar dalam hantaran tersebut, seperti dipetik Tribunnews.com pada Sabtu.
Wanita yang dikenali sebagai RN itu memberitahu kejadian sebenarnya berlaku pada Oktober 2024, namun video berkenaan baru tular pada Julai 2025.
RN berkata, dia telah berkahwin selama tujuh tahun dan tinggal bersama suaminya di Kalimantan sebelum pulang ke kampung halamannya seorang diri, manakala suaminya kekal merantau mencari rezeki.
Disebabkan belum mempunyai rumah sendiri, RN tinggal bersama keluarga mentuanya.
Namun, menurutnya, dia berdepan pelbagai sekatan termasuk tidak dibenarkan pulang ke rumah keluarganya sendiri. Akibat tekanan, RN akhirnya keluar rumah dan melawat keluarganya yang sudah lama tidak dijenguk.
Tindakan itu mengundang kemarahan ibu mentua yang bertindak mengusirnya sebaik dia kembali.
“Saya diusir dan pakaian saya disuruh ambil serta-merta dari rumah mentua,” katanya kepada wartawan.
Dakwanya, dia dihalau oleh ibu dan bapa mentua serta seorang iparnya.
Sementara itu, Ketua Pejabat Urusan Agama (PUA) Ujung Loe, Syarifuddin, menyifatkan tindakan mentua itu sebagai sesuatu yang tidak wajar.
“Sewajarnya pihak-pihak berkaitan mencari jalan penyelesaian agar isu ini tidak berlarutan. Jika boleh, elok dirujuk semula hubungan mereka,” katanya kepada TribunBulukumba.com.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar penilaian adil diberikan kepada semua pihak.
“Mungkin ada sikap menantu yang menyinggung perasaan mentua. Namun, daripada video yang tular, tindakan mentua kelihatan tidak beretika,” ujarnya lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

