Pelajar IPTA cedera jatuh dari tingkat empat asrama

KUALA PILAH – Seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan asrama awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, mangsa yang juga pelajar semester satu ditemui dalam keadaan cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah menaiki bangunan asrama berkenaan tanpa pengetahuan sesiapa.
“Hasil semakan lanjut mendapati pelajar tersebut memegang kad OKU (mental) dan pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai mengalami halusinasi,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, berdasarkan laporan pemeriksaan X-ray, mangsa mengalami patah tulang pinggul, namun berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Sebarang maklumat lanjut berkaitan kejadian ini boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPD Kuala Pilah di talian 06-8482999 atau ke balai polis berhampiran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!