Mayat wanita berseluar pendek ditemui terapung di sungai

KUANTAN – Mayat seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan terapung di Sungai Kuantan berhampiran kawasan parkir Benteng bersebelahan Shell Jalan Besar di sini pada Ahad.
Mayat mangsa yang dianggarkan berusia 30 tahun itu ditemukan orang awam kira-kira jam 12.38 tengah hari sebelum menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati mayat wanita berkenaan berada dalam keadaan terlentang dan tersangkut pada tali pelampung pukat.
Menurutnya, mangsa ditemukan memakai baju berwarna merah dan seluar pendek putih bercorak hitam.
“Hasil pemeriksaan luaran mendapati terdapat kesan calar berdarah pada bahagian dahi mangsa, namun tiada kecederaan lain yang mempunyai unsur jenayah ditemukan.
“Pengecaman identiti mangsa masih belum dapat dilakukan kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, pihak polis turut memaklumkan Unit Forensik D6 bagi tindakan pengecaman selanjutnya.
Jelasnya, mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

