Media antarabangsa jelaskan sebab Ronaldo tidak hadir pengebumian Jota

BINTANG bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo dilaporkan tidak menghadiri majlis pengebumian rakan sepasukannya, Diogo Jota yang berlangsung secara tertutup di Gondomar, Portugal pada Sabtu.
Jota yang juga penyerang Liverpool dan adiknya, Andre maut dalam kemalangan jalan raya di barat laut Sepanyol pada awal pagi Khamis lalu.
Majlis penuh hiba itu turut dihadiri isteri Jota, Rute Cardoso yang baru dinikahinya dua minggu lalu bersama tiga anak mereka.
Delegasi dari kelab Liverpool termasuk Virgil van Dijk dan Andy Robertson turut kelihatan membawa jambangan bunga ke dalam gereja sebagai penghormatan terakhir kepada rakan sepasukan mereka.
Turut hadir beberapa rakan sepasukan Jota dari skuad kebangsaan Portugal seperti kapten Manchester United, Bruno Fernandes dan pemain Manchester City, Bernardo Silva selain pengendali skuad kebangsaan, Roberto Martinez.
Rakan rapat Jota, Ruben Neves yang beraksi bersama Al-Hilal dalam Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat pada Jumaat sanggup terbang ke Portugal untuk memberikan penghormatan terakhir dan antara yang membantu mengusung keranda ke dalam gereja.
Namun, ketiadaan Ronaldo yang juga kapten skuad kebangsaan Portugal pada majlis tersebut mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat Portugal.
Wartawan sukan veteran, Antonio Ribeiro Cristovao, mengkritik ketiadaan Ronaldo dengan berkata: “Dia adalah kapten skuad Portugal. Ramai menjangkakan dia akan hadir. Jika tidak hadir, dia perlu beri penjelasan. Itu tanggungjawabnya sebagai kapten," katanya.
Menurut laporan media tempatan, pemain berusia 39 tahun itu sedang bercuti musim panas di pulau Majorca, Sepanyol.
Sementara itu, laporan The Mirror pula memetik bahawa Ronaldo memilih untuk tidak hadir kerana bimbang kehadirannya bakal mengganggu suasana tenang dan hening majlis pengebumian di kawasan kecil itu.
Meskipun begitu, beberapa jam selepas berita kematian Jota tersebar, Ronaldo sempat memberikan penghormatan menyentuh hati di media sosial.
“Saya tidak mampu menerima kenyataan ini. Kita baru saja bersama di kem latihan skuad kebangsaan dan kamu baru melangsungkan perkahwinan.
“Kepada keluargamu, isterimu dan anak-anakmu, saya ucapkan takziah dan doakan mereka terus tabah. Saya tahu kamu akan sentiasa bersama mereka. Damailah Diogo dan Andre. Kami semua akan merindui kamu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
