Pesara jurutera maut selepas aktiviti menyelam di Pulau Tioman

Mangsa cuba diselamatkan selepas ditemui terbaring di tepi pantai dalam keadaan mulut berbuih dan tidak sedarkan diri. Gambar kecil: Choon Foi Foto IPD Rompin
Mangsa cuba diselamatkan selepas ditemui terbaring di tepi pantai dalam keadaan mulut berbuih dan tidak sedarkan diri. Gambar kecil: Choon Foi Foto IPD Rompin
A
A
A

ROMPIN – Percutian seorang pesara jurutera bersama rakan-rakannya berakhir tragedi apabila beliau ditemukan maut di Pantai Kampung Paya, Pulau Tioman di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa, Low Choon Foi, 72, ditemui terbaring tidak sedarkan diri di tepi pantai oleh rakannya.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, sebelum kejadian, warga emas itu bersama 14 rakannya dari Singapura telah mendaftar masuk di sebuah resort pada jam 10.30 pagi Sabtu.

Menurutnya, mereka dijadualkan pulang ke Singapura pada Ahad.

“Pada jam 6.30 petang, mangsa dikatakan turun ke Pantai Kampung Paya untuk melakukan aktiviti menyelam bersama seorang rakannya.

“Namun, pada jam 7.40 malam, rakannya menemui mangsa terbaring di tepi pantai dalam keadaan mulut berbuih dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah, pihak resort kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada jam 9.20 malam.

Artikel Berkaitan:

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sehubungan itu, Sharif Shai menasihatkan penggemar aktiviti menyelam supaya memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik sebelum melakukan aktiviti tersebut, selain mendapat rehat secukupnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!