Tragedi buka puasa: Mekanik maut nahas dua RXZ di LPT1

KUANTAN - Seorang mekanik maut manakala rakan parah selepas motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang mereka ketika dalam perjalanan pulang berbuka puasa terlibat kemalangan di Kilometer 211, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur di sini pada tengah malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam nahas kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, Irwan Kamarol Hisham Mohammad Sharani, 42, beralamat dari Perumahan Balok di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, rakan mangsa, Mohd Syafiq Izzwan Benam, 32, beralamat di Taman Beserah dilaporkan mengalami parah.
"Siasatan awal dapati, mangsa bersama rakannya berkonvoi dalam perjalanan pulang selepas berbuka puasa di Temerloh.
"Semasa tiba di tempat kejadian, ketika sedang bergerak lurus, motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas terjatuh ke besi penghadang manakala motosikalnya tercampak ke tengah jalan.
"Pada masa sama, motosikal ditunggang rakannya yang bekerja sebagai juruteknik dari arah belakang gagal mengelak lalu terlanggar motosikal mangsa yang berada di tengah jalan menyebabkan lelaki itu terjatuh dan parah," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat manakala rakannya yang parah kini dirawat sebuah hospital swasta di sini.
Sementara itu dalam kemalangan berasingan, seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang dipercayai terbabas sendiri di Kilometer 226.6, LPT1 arah barat di sini pada awal pagi Isnin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa, Amirsyah Danial Fahdlansyah, 19, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuala Lumpur.
"Ketika sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar besi pembahagi jalan menyebabkan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Sementara itu katanya, pihak polis sedang mengesan saksi yang melihat dua kemalangan itu bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

